GAMBAR: Abd Razak Aid

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa lokaliti termasuk di Kuala Lumpur, Sarawak dan Sabah selama 14 hari, bermula Jumaat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD di ibu negara membabitkan Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur, manakala Sarawak dekat Kampung Serikin, Bau, Bahagian Kuching.

Beliau berkata, turut dikenakan PKPD di Kampung Bukit Gemuk dan Kampung Tanjung Batu Keramat masing-masing di Tawau; Perumahan Etara, Jalan Agaseh, Lahad Datu; Kampung Landung Ayang serta Taman Lavender di Kudat.

“Di Perumahan Awam Desa Rejang, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes amat ketara dalam masa singkat apabila 264 kes positif direkodkan hasil 3,512 saringan dengan kadar positif 7.52 peratus.

“KKM juga setakat ini merekod 20 kes positif COVID-19 hasil daripada 83 ujian saringan dilakukan dengan kadar positif 24.1 peratus.

“Pada masa sama, KKM mendapati kes meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

BERITA BERKAITAN Beberapa lokaliti di Perak, Pahang tamat PKPD

Selain itu, Ismail Sabri berkata, lapan kes positif COVID-19 dilaporkan hasil 13 ujian saringan dilakukan dengan kadar positif 61.54 peratus di Kampung Bukit Gemuk, Tawau.

Katanya, di Kampung Tanjung Batu Keramat, Tawau pula menunjukkan 14 kes positif susulan 22 ujian saringan dibuat dengan kadar positif 63.64 peratus.

“Setakat ini, sebanyak 15 kes positif dicatatkan hasil daripada 51 ujian saringan dilakukan dengan kadar positif 29.41 peratus di Perumahan Etara, Jalan Agaseh, Lahad Datu.

“KKM juga melakukan 65 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 17 kes positif direkodkan di Kampung Landung Ayang, manakala di Taman Lavender, 10 kes positif dikesan selepas 27 individu disaring di lokaliti itu,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di semua lokaliti berkenaan berkuat kuasa 18 Jun hingga 1 Julai ini susulan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram