Kes bunuh diri kian meningkat. Ini ada kaitan dengan tekanan hidup yang makin berat, juga akibat kemelesatan ekonomi dan pandemik Covid-19.

Masalah demi masalah datang menimpa, hingga ada yang mengambil jalan singkat membunuh diri kerana tidak dapat lagi menanggung beban masalah tersebut. Alangkah sedihnya.

Peningkatan kes bunuh diri ini mengingatkan Mastika kepada kisah…

——————

“AYAH! Ada kereta polis masuk.” Saya menjerit memberitahu kepada ayah yang sedang membaca al-Quran.

Ayah segera bingkas bangun dan bergegas ke luar rumah.

“Ada apa, ayah?” soal saya lagi.

Ayah menggelengkan kepala tanda tidak tahu. Tambah menghairankan kami, kereta polis itu menuju ke rumah Pak Husin. Beberapa orang penduduk kampung kelihatan berlari-lari menuju ke rumah jiran kami itu.

“Kenapa?” soal ayah.          

“Ajis mengamuk. Dia pukul Pak Husin!” jerit penduduk yang sedang bergegas itu.

Apabila terdengar berita itu, ayah terus bergegas menuju ke rumah Pak Husin. Saya mengekori dari belakang. Sampai di rumah Pak Husin, saya nampak tangan Ajis sudah bergari. Dua orang anggota polis mengawalnya.

Pak Husin pula terlentang di depan tangga rumahnya. Kepalanya berlumuran darah. Ajis menunduk mukanya. Ayah menghampiri Ajis.

“Kenapa ni, Jis?” soal ayah, lembut.

Ajis hanya diam membisu. Dia langsung tidak memandang wajah ayah.

Hairan, orang kampung mengenali Ajis sebagai seorang pemuda yang baik, cuma dia mempunyai sedikit masalah mental. Ada kalanya dia sihat, dan ada kalanya dia gila. Tetapi gilanya tidak selalu. Setahun, mungkin hanya sekali sahaja.

Orang yang paling rapat dengannya adalah ayah. Setiap kali Ajis mempunyai masalah, dia akan datang ke rumah dan bercerita kepada ayah. Lagipun Ajis tidak mempunyai keluarga. Dia hidup sebatang kara. Ayahlah tempat Ajis mengadu susah senang hidupnya.  

Kepala Pak Husin berlumuran darah, tangan Ajis bergari.

Ayah menggosok belakang Ajis beberapa kali. Saya dapat lihat Ajis menitiskan air mata. Polis kemudiannya membawa Ajis ke balai. Bagaimanapun, jiran-jiran terus memenuhi rumah Pak Husin untuk mengetahui kisah sebenar sampai Ajis tiba-tiba mengamuk.

Menurut cerita isteri Pak Husin, Ajis memukul Pak Husin kerana dia tidak berpuas hati dengan bayaran upah menebas kebun yang diberikan oleh suaminya. Ajis mendakwa, Pak Husin tidak membayar mengikut harga perjanjian.  

SELANG DUA MINGGU kemudian, ketika saya baru bangun daripada tidur, saya terdengar suara orang memberi salam. Saya cam suara itu. Tapi betulkah dia?

Saya mengintai dari celahan tingkap. Ya! Benar. Orang yang memberi salam itu adalah Ajis. Darah saya berderau seketika, bimbang sekiranya dia masih lagi belum pulih. Manalah tahu kalau angin tidak baiknya datang, saya pula diamuknya.

Apabila Ajis perasan yang saya sedang mengintainya, dia mengukirkan senyuman.

“Ayah ada?” soal Ajis.

Saya memanggil ayah. Saya lihat perbincangan ayah dengan Ajis sangat serius. Tanpa berlengah, saya terus memasang telinga mendengar perbualan mereka.

Kata Ajis, dia berasa sungguh malu dengan apa yang telah dilakukan. Dia bukan sengaja hendak memukul Pak Husin, tetapi disebabkan terlalu geram, dia tidak dapat mengawal perasaan marahnya. Selepas itu, kata Ajis, dia tidak sedar apa yang berlaku. Dia sedar sebaik sahaja tiba di balai polis.

Tambah Ajis lagi, hidupnya kini sangat tertekan kerana orang kampung mula membencinya. Ke mana sahaja dia pergi orang kampung akan mengatanya. Mereka ketawa dan mengejeknya.

Ayah cuba menenangkan Ajis. Kata ayah, itu semua andaian sahaja. Tiada siapa yang mengejek. Orang kampung semuanya faham dengan apa yang berlaku.

Tetapi Ajis tetap tidak mahu percaya. Kata Ajis, memang orang kampung tidak suka dengannya. Semenjak dia dibebaskan dari tahanan polis, ada sahaja orang yang memandang sinis terhadapnya. Dia berasa sangat-sangat malu.

Selepas hari itu, saya lihat banyak perbezaan ke atas diri Ajis. Dia banyak menyendiri daripada bercampur dengan orang ramai. Dahulu, iaitu sebelum kejadian amuk, Ajis selalu melepak di kedai kopi. Tetapi kini dia langsung tidak menjejak ke kedai kopi itu.

Ajis juga sudah tidak pergi ke surau. Sampai ke satu tahap, apabila Ajis berjalan dan melihat ada orang ketawa atau tersenyum, dia menyangka orang itu mentertawakannya. Disebabkan itulah Ajis membawa dirinya.

Ajis tidak mahu bergaul dengan sesiapa lagi. Bagi Ajis semua orang kini membenci dan mentertawakannya.

Setiap kali datang ke rumah kami, itulah yang diadukannya. Ayah sedaya upaya memujuk Ajis, bimbang jika sakitnya kembali menyerang. Tapi tidak berkesan.

Hari demi hari keadaan Ajis semakin tidak menentu. Kadang-kadang dia bercakap sendirian. Apabila melihat orang kampung pula, dia akan menyembunyikan diri. Sehinggakan setiap kali bertemu dengan ayah sekali pun, dia akan menyorok.

SELANG SEMINGGU KEMUDIAN, sewaktu baru balik dari sekolah, saya ternampak orang ramai berpusu-pusu menuju ke ladang getah Wak Kasim yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari kawasan sekolah.

Saya berlari ke arah ladang getah itu untuk mengetahui apa yang berlaku. Dari jauh saya nampak beberapa buah kereta polis dan juga ambulans. Saya tertanya-tanya, apa yang berlaku?

Saya menghampiri kawasan itu. Malangnya terlalu ramai orang menghadang penglihatan saya. Saya terus menyelit-nyelit di celah orang ramai untuk ke depan.

Apabila berjaya sampai ke depan, alangkah terkejutnya saya apabila melihat Ajis tergantung di atas sebatang pokok getah. Matanya terbeliak, lidahnya panjang sehingga hampir ke paras dada. Mukanya sudah bertukar biru.

Saya menggigil ketakutan. Tidak sanggup saya melihat keadaan itu lama-lama. Ia sangat-sangat menakutkan. Saya berlari balik ke rumah dan terus memberitahu ibu mengenai hal itu. Saya menangis-nangis dalam pelukan ibu.

Malam itu, mata saya terbayang-bayang keadaan Ajis yang tergantung di pohon getah. Saya ketakutan dan sukar untuk melelapkan mata. Setiap kali terbunyi sesuatu, jantung saya berdegup kencang.

Saya sentiasa terbayangkan mayat Ajis tergantung dalam keadaan yang mengerikan.

Saya tidak tahu pukul berapa, tapi lewat malam itu ketika masih lagi terbayang-bayang wajah Ajis, tiba-tiba saya terdengar derapan tapak kaki di luar rumah. Bunyinya seperti saya kenal. Saya amati bunyi itu. Ia seperti bunyi derapan tapak kaki… Ajis!

Cepat-cepat saya menutup seluruh badan dengan selimut. Saya menggigil ketakutan.

“Assalamualaikum!”

Kedengaran sayup-sayup suara orang memberi salam. Benar! Suara itu persis suara Ajis. Tetapi, bukankah Ajis sudah meninggal dunia? Orang yang mati mana boleh bagi salam.

Walaupun takut, saya memberanikan diri mengintai dari celahan tingkap. Dalam kesamaran cahaya di luar rumah, saya nampak satu susuk tubuh seorang lelaki. Memang dia kelihatan sama dengan Ajis.

Saya lihat lelaki itu mundar-mandir di depan rumah. Kemudian dia masuk ke bawah rumah. Gelagatnya memang tidak ubah seperti Ajis.

Biasanya Ajis apabila datang ke rumah, begitulah reaksinya. Dia tidak akan duduk diam. Dia akan mengintai dari celahan pintu atau tingkap. Masuk ke bawah rumah, dan juga terlompat-lompat untuk menjenguk.

Bulu-bulu roma saya menegak. Saya terus berlari ke bilik ayah untuk memberitahunya. Rupa-rupanya ayah juga dengar bunyi suara itu.

DUM! DUM! DUM!

Pintu rumah pula diketuk-ketuk. Ayah menyuruh saya dan ibu supaya terus duduk di bilik. Dia keluar pergi membuka pintu. Apabila pintu rumah dikuak, ayah lihat tiada siapa pun di situ.

Benarkah yang merayau di kampung kami itu roh Ajis? Atau itu syaitan?

KEESOKAN HARINYA heboh satu kampung bercerita mengenai Ajis. Ada penduduk kampung mengatakan mereka terserempak dengan jelmaan Ajis. Selain itu, ada yang mendakwa nampak kubur Ajis berasap.

Selepas hari itu, setiap hari ada sahaja cerita mengenai Ajis. Mereka mengatakan roh Ajis tidak tenang, sebab itulah ramai penduduk kampung yang diganggu. Perkara itu berlarutan sehingga beberapa bulan.  

Mengapa semua ini berlaku? Anda tahukah jawapannya?

Ada orang kata, jelmaan yang dilihat oleh penduduk-penduduk kampung itu adalah roh Ajis. Benarkah begitu? Kalau betul apa yang mereka katakan, saya sebenarnya tidak tahu kenapa roh Ajis merayau mengganggu penduduk kampung.

Adakah dia mahu membalas dendam atau sememangnya roh orang yang mati bunuh diri tidak diterima untuk naik ke langit? Disebabkan itulah roh mereka berkeliaran tanpa tujuan. Atau, itu hanya jelmaan syaitan yang menyerupai arwah Ajis untuk menyesatkan kita?

Bila mengenangkan semua itu, saya teringat akan sepotong hadis Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam genggamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam genggamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.”

Pencerita: Datuk Dr. Mohd. Nashuha Jamidin