KDN muktamad nama Timbalan Ketua Polis Negara baharu

Dari Penulis

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) dilaporkan telah pun memuktamadkan nama pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengisi jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baharu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, nama calon bagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara itu juga telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan.

“Kita sudah memuktamadkan (nama) dan menyerahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

“Maka, kita tunggu keputusan daripada Agong,” katanya seperti dilapor BH Online.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan pemantauan pematuhan operasi prosedur standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 hari ini.

Baca artikel berkaitan: Buka Parlimen?…Sabar sekejap, tunggu tiga bulan lagi – Hamzah

Sebelum ini, beberapa nama disebut-sebut untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani selepas dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 3 Mei lalu.

Antara nama yang disebut ialah Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim atau Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Razarudin Husain.

Hamzah sebelum ini dilaporkan berkata pelantikan jawatan kedua tertinggi dalam PDRM itu perlu melalui beberapa proses termasuk melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).

Kata beliau, SPP akan menghantar nama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

Sementara itu, Hamzah turut memaklumkan KDN sedang dalam proses untuk menghubungi individu yang dilaporkan didaftarkan sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tanpa pengetahuan baru-baru ini.

Katanya, pihaknya sudah pun mengenal pasti individu yang telah didaftarkan secara automatik menerusi sistem MyRela itu.

Menurut Hamzah, maklumat lanjut akan diambil daripada individu yang terlibat bagi tujuan tindakan susulan.

“Kita telah kenal pasti jumlah keseluruhan individu terbabit dan kini dalam proses menghubungi seorang demi seorang untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Sebelum ini, sistem pendaftaran anggota Rela dilakukan secara manual. Sebab itu kita minta Rela menghubungi individu berkenaan untuk tahu siapa orangnya,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

162 bekas tentera wanita disaring, hanya 16 dipilih warden MRSM

SERAMAI 162 calon warden wanita Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam kalangan bekas tentera telah pun menjalani sesi saringan,...

More Articles Like This