Lagi kes SOP jadi hiasan oleh majikan, kali ini tapak bina di Seremban diarah tutup/ Gambar hiasan FB CIDB

MARAH dan kecewa sering diluahkan di media sosial bila mana kes baharu COVID-19 berterusan dilaporkan akibat kegagalan majikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Di saat sektor tertentu dibenarkan beroperasi demi kelangsungan ekonomi negara walaupun dalam tempoh sekatan penuh, namun SOP bagi mengelak penularan virus itu sekadar dijadikan hiasan oleh majikan yang tamak.

Terbaru, sebuah tapak pembinaan di Seremban dikesan beroperasi dengan kapasiti melebihi 60 peratus pekerja dan rumah penginapan pekerja tiada kelulusan pihak berkuasa.

Akibatnya, tapak projek pembinaan rumah teres itu diarah tutup serta-merta kerana gagal mematuhi SOP bagi tapak pembinaan seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kesalahan itu dikesan hasil operasi penguatkuasaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Negeri Sembilan semalam.

Menurut CIDB, tapak bina ini telah diarahkan untuk menghentikan operasi serta-merta kerana ketidakpatuhan terhadap SOP dan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Atas kesalahan ini, CIDB telah mengenakan tindakan iaitu mengeluarkan Notis N3E/2021 (Kesalahan di bawah Kewajipan Kontraktor) (Gagal Mematuhi SOP MKN PKP 3.0); Notis N2/2015 (Notis Kemukakan Maklumat) dan Notis Pemberitahuan (Kesalahan di Bawah Kewajipan Kontraktor) (Seksyen 34B).

“CIDB turut mengeluarkan Notis N9/2015 (Arahan Hadir), menampal Notis Penutupan Tapak bagi Kesalahan Pelanggaran SOP COVID-19 MKN dan menyita Tapak Bina dengan penggunaan pita Larangan Masuk,” kata CIDB dalam kenyataan.

Selain tapak bina menyumbang kepada jumlah kluster tempat kerja yang dilaporkan hari-hari walau dalam tempoh lockdown, Negeri Sembilan kebelakangan ini antara lima negeri tertinggi melaporkan pertambahan kes COVID-19.

Malah beberapa hari lalu, Negeri Sembilan melaporkan melebihi 1,000 kes.

Sementara itu, jelas CIDB, sebanyak 150 tapak pembinaan diarah tutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu.

Baca artikel berkaitan: 22 lagi kluster, kes sporadik juga masih tinggi di Lembah Klang

Kebolehjangkitan COVID-19 Negeri Sembilan, Perak tertinggi

Walaupun sudah jelas, lagi kes SOP jadi hiasan dikesan di tapak bina dikesan CIDB dalam penguatkuasaan agensi itu di seluruh negara.

Keseluruhannya kata CIDB, sebanyak 2,423 tapak pembinaan telah diperiksa dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 446 (18%) tapak pembinaan didapati beroperasi manakala sebanyak 1,977 (82%) tidak beroperasi.

“Daripada 446 tapak yang beroperasi didapati 150 tapak pembinaan (34%) tidak mematuhi SOP, manakala 296 (66%) tapak lagi mematuhi SOP. Kesemua 150 tapak pembinaan tidak mematuhi SOP berkenaan telah diarah tutup serta merta.

“Bagaimanapun 11 daripada tapak pembinaan yang diarah tutup telah pun dibenarkan dibuka semula, selepas mereka mematuhi SOP yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Jelas CIDB, daripada 150 tapak pembinaan yang ditutup sebanyak 45 terletak di Sarawak, Selangor (24), Melaka (16), Pulau Pinang (10), Terengganu (10), Sabah (9), Johor (7), Kuala Lumpur (6), Pahang (6), Perak (5), Kedah (4), Negeri Sembilan (4), Perlis (3) dan Kelantan (1).

“Sebanyak 11 tapak bina yang dibuka semula selepas didapati mematuhi SOP terletak di negeri Terengganu (4), Melaka (3), Johor (2), Kuala Lumpur (1) dan Kedah (1),” kata CIDB.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram