KES sporadik masih dilaporkan pada peratusan yang tinggi terutama di Lembah Klang dan sehubungan itu sangat penting untuk orang ramai mengambil pendekatan tindakan kesihatan awam kendiri bagi melindungi diri serta keluarga daripada bahaya COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diumumkan pada 12 Mei, namun kes sporadik masih tidak menunjukkan penurunan ketara seperti dilapor pada minggu dari 13 hingga 19 Jun.
Katanya, ini berbeza dengan kes-kes kluster yang berjaya dikawal peningkatannya pada minggu tersebut jika dibandingkan pada minggu awal pelaksanaan PKP 3.0.
“Pada minggu Epidomologi (ME) ke-24 (13-19 Jun), Lembah Klang mencatatkan jumlah kes sporadik tertinggi di Malaysia.
“Tiga daerah tertinggi melaporkan kes ialah daerah Petaling dengan 3,905 kes, Hulu Langat (2,783 kes) dan daerah Klang dengan 2,482 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Noor Hisham, kawasan Lembah Klang yang sememangnya mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, bukan sahaja terdedah kepada bahaya banyak kes sporadik di dalam komuniti, malahan kebanyakan dari kes-kes COVID-19 ini tidak mempunyai gejala.
Baca artikel berkaitan: 4,611 kes baharu, Lembah Klang turun, Perak melonjak
69 kematian, korban termuda berusia 28 tahun

“Dengan erti kata lain, sukar bagi kita untuk mengetahui siapa yang mempunyai COVID-19 di kalangan kita.
“Oleh itu adalah sangat penting bagi semua pihak mengambil maklum perkara ini dan melindungi diri serta keluarga masing-masing daripada bahaya COVID-19,” jelasnya.
Tambah Noor Hisham, Malaysia telah merekodkan sebanyak 578,105 kes COVID-19 dari 1 Januari lalu hingga kelmarin.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 398,846 kes (69.0 peratus) adalah kes sporadik di mana negeri tertinggi yang melaporkan kes sporadik adalah negeri Selangor dengan 151,725 kes (38.0 peratus).
“Kuala Lumpur pula sebanyak 44,517 kes (11.2 peratus) dan diikuti oleh negeri Sarawak sebanyak 40,889 kes (10.3 peratus),” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan sebanyak 22 lagi kluster dilaporkan hari ini.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 14 adalah kluster tempat kerja manakala tujuh komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.
Selangor dan Johor masing-masing melaporkan empat kluster tempat kerja manakala Pulau Pinang dua dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Sabah dan Melaka.
Kluster komuniti pula dilaporkan masing-masing tiga di Sarawak dan Kelantan serta satu di Sabah.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

