LAZIMNYA, tali leher dipakai oleh lelaki untuk ke tempat kerja supaya kelihatan segak, kemas dan menunjukkan status kerjayanya. Disebabkan itu, tali leher juga menjadi salah satu item popular dalam fesyen.
Macam mana sejarah tali leher ini terhasil?
Ada dua versi yang diceritakan. Versi pertama, tali leher dipakai oleh pahlawan zaman pertengahan untuk mengelak pedang musuh daripada sampai ke kerongkong mereka.
Kemudian, beberapa orang lelaki mula menghiasi pelindung itu dengan beberapa lukisan menarik dan amalan itu mula tersebar sehingga dijadikan fesyen.

Versi kedua pula dikatakan berasal dari zaman empayar Rom. Waktu ini anggota senat Rom terpaksa berucap dalam jangka masa yang lama kepada ratusan penduduk.
Untuk menahan kesejukan cuaca di luar dan menekan peti suara, orang Rom melilit skarf yang digelar fascalia pada leher untuk memanaskan kerongkong dan sentiasa bersedia untuk berucap panjang lebar. Bermula dari situlah tercetusnya idea menghasilkan tali leher.

Apa pun sejarahnya, tahukah anda bahawa pemakaian tali leher sebenarnya membawa keburukan kepada si pemakai?
Ada beberapa kajian yang dijalankan mendakwa tali leher boleh menyebabkan kebutaan. Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam British Journal of Ophthalmology, pemakaian tali leher terlalu ketat dalam jangka masa lama meningkatkan tekanan intraocular (IOP) atau disebut tekanan tinggi dalam mata dan boleh menyebabkan glaukoma.
Glaukoma adalah penyakit mata di mana tekanan cecair dalam bola mata menjadi terlalu tinggi sehingga merosakkan saraf optik yang membawa signal penglihatan dari mata ke otak. Kerosakan ini tidak dapat disembuhkan sehingga menyebabkan kebutaan pada tahap yang parah.

Dalam satu kajian, ia dijalankan kepada 20 orang lelaki yang menghidap glaukoma dan 20 orang lagi yang tidak menghidapinya. Setiap subjek diukur IOPnya dengan kolar kemeja terbuka, kemudian diikat tali leher ke tahap agak tidak selesa. Selepas tiga minit, IOP subjek diukur sekali lagi. Kemudian tali leher dilonggarkan dan selepas tiga minit lagi, IOP subjek diukur buat kali ketiga.
Hasilnya, 60 peratus daripada mereka yang menghidap glaukoma mengalami peningkatan IOP apabila memakai tali leher dan 70 peratus subjek normal juga mengalaminya. Apabila tali leher dilonggarkan, IOP kedua-dua subjek menurun.
Daripada hasil kajian, para penyelidik memberi amaran tali leher yang ketat berisiko menyebabkan pemakainya menjadi buta.
Masalah ini sebenarnya pertama kali dikemukakan oleh Dr. Walter G. Walford pada tahun 1917 dalam buku berjudul Dangers in Neckwear. Beliau menulis tali leher yang ketat dan kolar berkanji akan memberi masalah pada seseorang kerana pengaliran darah ke otak terganggu.
Malah tali leher juga disifatkan tiada fungsi utama selain semata-mata hanya sekadar fesyen. Ia berbeza dengan tali pinggang yang berguna untuk memastikan seluar tidak londeh atau berada di tempatnya dengan sempurna. Manakala stoking pula memberi perlindungan pada kaki.
Sebaliknya tali leher pula hanya hiasan yang tidak mendatangkan manfaat kepada tubuh badan. Sudah lah begitu, pada zaman moden harganya juga mahal apabila dikelaskan mengikut taraf pembuatan dan jenama.
Oh ya, satu lagi, tali leher juga boleh mengundang risiko peperangan. Bayangkan kalau seorang suami yang memakai tali leher pulang ke rumah dan isteri jumpa kesan gincu, hmmm… faham sendirilah mengapa ‘perang’ tercetus selepas itu. He he he…

_______________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

