bercerai angkara sihir

Penulis pernah berdepan dengan pasangan yang menfailkan tuntutan cerai fasakh disebabkan kecederaan dan kecacatan fizikal yang berlaku secara misteri. Antaranya ialah kudis yang sukar diubati, ratqa (tertutup kemaluan wanita dengan daging), qarna (tertutup kemaluan wanita dengan tulang) dan unnah (mati pucuk bagi lelaki).

Sebenarnya, selain faktor fisiologi dan psikologi manusia, penyakit tersebut juga boleh disebabkan angkara sihir. Sebagai contoh, sihir batang keladi dan sihir jerutan sering digunakan untuk melemahkan tenaga kelakian.

Menurut Walter Farber dalam bukunya Witchcraft, magic and divination in Ancient Mesopotamia, sihir jenis ini telah pun diamalkan sejak tamadun Mesopotamia lagi dan ianya berterusan sehingga ke hari ini.

Penggunaan sihir sebegini juga banyak dilaporkan berlaku di Eropah sekitar kurun ke-15. Justeru, sekiranya terdapat pasangan mengadu bahawa punca kecacatan atau kecederaan fizikal yang dialami itu dipercayai adalah angkara sihir, maka pihak mahkamah perlu memberi peluang kepada pihak yang teraniaya untuk membela diri.

Sihir sebagai alasan untuk mengenepikan permohonan cerai

Pengalaman menyaksikan kes-kes pasangan suami isteri yang bercerai angkara perbuatan sihir menyedarkan penulis agar satu pembaharuan dalam perundangan dilakukan untuk membela nasib mereka yang teraniaya terutama isteri dan anak-anak.

Pihak yang teraniaya ini seharusnya diberikan peluang untuk membela dan mempertahankan rumahtangga mereka atas alasan pasangannya ‘kena sihir’.

Dari segi beban pembuktian, ianya terletak kepada pihak yang mendakwa adanya penggunaan sihir dalam kes itu.

Apabila pasangan yang bahagia tiba-tiba berubah sebaliknya, boleh jadi itu angkara sihir pemisah

Contohnya, sekiranya seorang suami mendakwa bahawa dia telah menceraikan isterinya dalam keadaan akalnya tidak waras akibat terkena sihir, maka beban pembuktian adalah ke atas beliau untuk menunjukkan bahawa wujudnya ‘simptom lazim terkena sihir’ pada diri beliau dan sihir tersebut benar-benar menyebabkan beliau hilang kewarasan akal.

Manakala jika seorang isteri mendakwa suaminya telah menceraikannya dalam keadaan akal suami tersebut tidak waras akibat terkena sihir, maka beban pembuktian adalah ke atas isterinya untuk membuktikan bahawa wujudnya ’simptom lazim terkena sihir’ pada diri suaminya dan sihir tersebut benar-benar menyebabkan suaminya hilang kewarasan akal.

Pendapat Pakar untuk mengenalpasti ’simptom lazim terkena sihir’

Mangsa-mangsa sihir biasanya akan mengalami simptom-simptom tertentu yang boleh dinamakan sebagai ’simptom lazim terkena sihir’. Simptom ini biasanya dapat dikenal pasti melalui perubahan tertentu pada aspek fizikal, mental, emosi, spiritual, hubungan kekeluargaan, premis dan kerjaya.

Untuk menilai sama ada simptom-simptom yang dialami mangsa itu benar-benar tergolong dalam simptom lazim terkena sihir, maka pendapat pakar yang memahami selok belok ilmu dan amalan sihir perlu diminta.

Perkara ini telah pun dibincangkan oleh para ulama. Menurut Al-Khatib As-Syarbini dalam kitabnya Mughni Al-Muhtaj, seorang yang dahulunya terkenal sebagai ahli sihir, tetapi telah bertaubat dari mengamalkan ilmu tersebut boleh dipanggil sebagai saksi bagi memberikan keterangan mengenai selok belok ilmu sihir.

Hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan kes Mustafa Batcha lwn Habeeba Abd Rahman turut menegaskan betapa perlunya pakar dalam ilmu hitam ini dipanggil untuk memberikan pendapat di mahkamah.

Pendapat pakar sangat penting untuk mengenal pasti dan menentukan perkara-perkara berikut:

  • Adakah benar simptom-simptom yang dialami oleh mangsa benar-benar berpunca dari perbuatan sihir, ataupun hanyalah simptom akibat gangguan makhluk halus yang berpunca dari saka yang diwarisi, amalan kebatinan khurafat, rawatan tradisional yang menyeleweng atau selainnya;
  • Sejauh mana sihir yang dikenakan itu memberi kesan terhadap mental dan fizikal mangsa;
  • Adakah wujud sebarang kolerasi dan pertalian antara simptom yang dialami, bahan sihir (jika ada) dan kesannya kepada mangsa;
  • Adakah wujud qarinah yang boleh dikaitkan dalam dakwaan yang dikemukakan;

Metodologi sebegini adalah bersesuaian dengan peruntukan seksyen 33Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah negeri negeri di Malaysiayang memberi kuasa kepada mahkamah untuk memanggil seseorang yang pakar dalam suatu sains atau seni untuk memberikan pendapat mereka di mahkamah.

Soal sama ada untuk menerima atau menolak keterangan tersebut terserahlah kepada kebijaksanaan para hakim.

Sekiranya hakim (setelah meneliti dan mendengar pendapat pakar tentang hal tersebut) mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa orang yang mendakwa itu benar-benar mengalami simptom-simptom disihir, maka beliau perlu mengeluarkan perintah agar orang tersebut dirujuk ke pusat-pusat rawatan yang bertauliah dan diberikan tempoh tertentu untuk menjalani rawatan.

Tujuan utama dijalankan rawatan adalah bagi memastikan mangsa benar-benar pulih dari pengaruh sihir dan dapat dibicarakan di mahkamah dalam keadaan beliau sempurna akal.

Kebiasaannya, apabila mangsa bebas dari ikatan sihir, beliau akan mempertimbangkan tindakan yang telah diambilnya dengan lebih rasional. Dalam keadaan ini, maka mahkamah boleh mendengar semula tuntutan yang difailkan sama ada oleh mangsa atau pasangannya.

Kaedah ini lebih adil kerana semua pihak dalam tuntutan atau permohonan tersebut berada dalam keadaan akal yang sempurna. Namun, untuk merealisasikan perkara ini, tidak cukup dengan hanya coretan di majalah ini sahaja.

Usaha harus digembeleng oleh semua pihak dalam rangka mempertahankan institusi perkahwinan umat Islam.

Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Universiti Malaysia Pahang

Artikel Berkaitan: siri 1 adakah sah talak dengan sebab angkara sihir pensyarah ini beri penjelasan

____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram