SEJAK akhir-akhir ini, kita menyaksikan semakin banyak kes melibatkan Parcel Scam atau Love Scam dilaporkan.
Kebanyakan sindiket itu pula didalangi warganegara asing dengan modus operandi menggunakan media sosial.
Itu juga berlaku kepada sindiket penipuan yang menjalankan aktiviti Parcel Scam dan Love Scam sejak lima tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, maklumat dan risikan telah membawa kepada dua serbuan berasingan sekitar Kajang, Selangor, Rabu lalu sekali gus menumpaskan sindiket yang dikesan aktif melakukan penipuan terhadap warga tempatan dan luar negara.
Menurut beliau, polis telah berjaya menahan tujuh individu iaitu seorang wanita tempatan dan enam lagi lelaki warganegara Nigeria berusia antara 33 hingga 42 tahun.
Selain itu, kata beliau, polis turut merampas lapan komputer riba, 17 telefon bimbit, tiga unit pemacu pena, dua set modem internet. dua set router, dua keping kad bank, pasport dan beberapa dokumen lain.
Baca artikel berkaitan: Akibat ‘Love Scam’ ibu tunggal kerugian hampir RM1 juta
Mohd. Kamarudin berkata, siasatan mendedahkan sindiket tersebut mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya lapan kes parcel atau love scam.
“Siasatan turut mendapati sindiket warga Nigeria ini bergiat aktif sejak lima tahun lalu dan memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar dan visa lawatan sosial.
“Walaupun tempoh visa telah tamat, mereka terus tinggal di negara ini secara haram dan menjalankan kegiatan penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Kamarudin berkata, sindiket berkenaan beroperasi dalam dua kumpulan di mana satu kumpulan mereka akaun palsu di media sosial manakala satu lagi berperanan mencari akaun keldai.
“Sindiket ini juga bersekongkol dengan warga tempatan yang akan menyamar sebagai pegawai kastam atau staf syarikat kurier untuk memperdaya mangsa,” jelas beliau.
Sehubungan itu, Mohd. Kamarudin turut menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan kenalan baharu yang ingin menjalinkan hubungan persahabatan atau percintaan menerusi laman media sosial.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang panggilan telefon atau mesej kononnya daripada kastam atau kurier yang menyatakan menerima barangan memerlukan pembayaran dilakukan.
“Jangan sesekali membenarkan akaun bank digunakan oleh orang lain atau menyerahkan kad bank kepada pihak lain untuk digunakan bagi apa sahaja urusan.
“Orang ramai boleh membuat pengesahan nombor akaun bank dan nombor telefon terlebih dahulu melalui portal ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun bank dan nombor telefon itu pernah terlibat dalam kes penipuan atau pun tidak sebelum membuat sebarang transaksi bayaran,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

