membunuh dari sudut psikologi
Kredit: Kualalumpurpost.net

Seorang bayi perempuan berusia setahun maut selepas kepalanya ditetak bapa saudara sendiri dalam satu kejadian di kampung Parit Mahang Jeram kelmarin. Kejadian dikatakan berpunca daripada pergaduhan antara keluarga yang bermula dengan pertikaman lidah antara adik beradik di rumah orang tua mereka.

Sumber berkata, suspek kemudiannya dikatakan telah keluar dari rumah tersebut sebelum mundar mandir di tepi rumah. Tidak lama kemudian kedengaran jeritan dari rumah sebelah yang dihuni adik iparnya.

Suspek didapati telah menghayunkan parang panjang untuk menetak adik ipar dan anak saudaranya. Hayunan pertama telah terkena kepala anak saudaranya dan kemudian suspek bertindak lagi menetak adik iparnya namun berjaya dielak.

Ini adalah salah satu dari ribuan kes yang dilaporkan media tempatan berkaitan pembunuhan. Tindakan pembunuh kebanyakannya adalah pertama kali dan bukan berulang kali. Namun yang menjadi tanda tanya, kenapa mereka sanggup mengambil tindakan drastik tersebut sedangkan mahu membunuh ikan untuk dimasak pun rasa kasihan, inikan pula mengambil nyawa manusia.

Mungkin ini menunjukkan manusia yang membunuh itu sakit mental sebenarnya, jika waras tidak mungkin membunuh. Banyaknya pengaruh psikologi bagi orang yang membunuh, hanya yang pakar saja mampu menjawabnya.

Bagi Pensyarah Sekolah Psikologi dan Perkembangan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Nor Ba’yah Abdul Kadir, menurut pendapat cabang pemikiran psikologi membunuh adalah fitrah manusia.

Ini kerana membunuh dilihat sebagai kesan semula atau akibat daripada rasa tidak puas hati dengan sistem sosial. Ada juga yang mengatakan membunuh disebabkan oleh desakan biologikal dan psikologikal, namun tidak kurang  juga yang bersetuju membunuh adalah satu fenomena sosial.

Seterusnya dia menjelaskan, membunuh itu tidak ada kaitan dengan zaman atau teknologi. Sikap ganas, liar dan kejam sememangnya wujud, begitu juga dengan sakit-sakit mental telah lama berlaku.

Hanya sikap ganas, liar dan kejam jarang dikongsi atau dipaparkan di media massa sebelum teknologi semakin canggih. Keadaan sudah berubah hari ini apabila terciptanya teknologi yang menyebabkan berita cepat disebarkan dan media mula mendedahkan perilaku tertentu yang dilihat terkeluar daripada norma-norma masyarakat.

Ada beberapa faktor penyebab

Secara tidak langsung paparan itu menjadikan fenomena sosial ini dilihat sangat merbahaya dan kerap berlaku. Perilaku keganasan dan sakit mental misalnya bukan berpunca hanya kepada satu faktor malahan melibatkan beberapa faktor iaitu biologi, psikologi dan sosial.

Selain tiga faktor utama, Dr. Nor Ba’yah Abdul Kadir, menambah ada faktor lain  yang mendorong seseorang membunuh.

Antaranya: Pertama, melihat diri seperti orang asing serta diiringi oleh perasaan marah. Misalnya kes pembunuhan oleh remaja sekolah tinggi di Amerika Syarikat.

Kedua, kecelaruan psikologikal seperti kecelaruan personaliti atau conduct behavior seperti pembunuh bersiri.

Ketiga, melibatkan persepsi individu apabila ada keperluan untuk kelangsungan hidup (survival) seperti mempertahankan diri atau mempertahankan orang lain. Tindakannya adalah respons terhadap situasi yang paling menekan, reflektif keselamatan dan naluri untuk meneruskan kehidupan.

Orang yang membunuh ini sebenarnya mempunyai penyakit mental.

Keempat, mekanisme helah bela diri iaitu menamatkan sesuatu perkara dengan cara membunuh.

“Membunuh berlaku pada semua bangsa dan budaya. Berdasarkan kajian biologi, ciri-ciri fisiologi menyumbang kepada perilaku membunuh. Ini termasuk bentuk otak (phrenology), fizikal abnormal (atavism) dan bentuk badan (somatotypes).

“(Phrenology) Otak misalnya ada tiga kawasan utama iaitu intelektual, moral dan animal faculties. Dipercayai bahawa tret pemusnahan dan kerahsiaan yang terletak pada animal faculties adalah overdeveloped. Dua tret ini berkaitan dengan perilaku membunuh.

Atavism iaitu fizikal abnormal pula dikaitkan dengan ciri-ciri primitif. Naluri tertentu dan ciri-ciri fisiologikal yang ada dalam primat (haiwan mamalia) juga terdapat dalam diri orang yang melakukan pembunuhan. Ini yang disebutkan ‘born criminal’.

Individu yang memilih pekerjaan sebagai pembunuh upahan mungkin boleh dilihat sebagai individu yang “born to kill” iaitu mempunyai ciri-ciri primitif.

Manakala Somatotypes iaitu bentuk badan pula mengandungi tiga komponen penting seperti endomorphy, mesomorphy dan ectomorphy.

Kajian oleh Glueck dan Glueck (1970) mendapati individu bertingkah laku delinkuen (bersikap melanggar undang-undang atau melakukan perbuatan yang tidak diterima masyarakat) rata-rata mereka mempunyai susuk tubuh jenis mesomorphy iaitu tubuh badan seperti atlit (bone and muscle).

Oleh itu ujarnya lagi, “Saya tidak melihat manusia itu sebagai haiwan tetapi dalam diri manusia ada sifat kebinatangan. Lazimnya apabila menyebut sifat kebinatangan, ia berkaitan perkara-perkara negatif seperti membunuh dan bergaduh.” Wallahu a’lam

____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram