SATU kebakaran besar di sebuah kilang memproses makanan di Bangladesh mengakibatkan sekurang-kurangnya 52 orang pekerja yang terperangkap maut.
Kebakaran kilang di Rupganj, bandar perindustrian 25 kilometer timur Dhaka petang kelmarin turut menyaksikan pekerja lain menyelamatkan diri dengan melompat daripada tingkat bangunan yang lebih tinggi.

Al Jazeera melaporkan, walaupun selepas 24 jam kebakaran berlaku, kebakaran di dalam kilang itu masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya.
Menurut saksi dan polis, kebakaran kilang Hashem Food and Beverage di Rupganj berlaku kira-kira pukul 5 petang waktu tempatan.
“Sejurus api berjaya dikawal, kami akan melakukan operasi dan menyelamat di dalam kilang. Kemudian kita dapat mengesahkan jika terdapat mangsa lain terlibat,” kata jurucakap bomba, Debashish Bardhan.

Kira-kira 30 orang cedera manakala ratusan ahli keluarga mangsa menunggu dengan gelisah ketika anggota bomba mengeluarkan mayat dari kilang.
Polis pada awalnya menyatakan hanya tiga orang maut namun angka kematian meningkat secara mendadak apabila anggota bomba berjaya memasuki tingkat bawah kilang dan mengeluarkan puluhan mayat pekerja yang terperangkap..
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke rumah mayat ketika teriakan dan tangisan ahli keluarga mangsa dari jalan raya.
Ketua Jabatan Bomba Dhaka, Dinu Moni Sharma berkata, kebakaran berlaku akibat bahan kimia mudah terbakar dan plastik yang disimpan di dalam kilang.
Menurut polis, kebanyakan mangsa cedera akibat melompat daripada tingkat atas kilang.
Bagaimanapun masih tidak jelas berapa ramai pekerja kilang yang terperangkap.
Seorang pekerja kilang terselamat,Mohammad Saiful berkata, puluhan pekerja kilang masih berada di dalam kilang semasa api mula marak.
“Pada tingkat tiga bangunan, pintu pada tangga ditutup. Rakan lain menyatakan sebanyak 48 orang berada di dalam tangga. Saya tidak tahu apa jadi pada mereka,” katanya.
Seorang lagi pekerja, Mamun memberitahu, dia dan puluhan pekerja lain berlari ke arah bumbung bangunan selepas kebakaran berlaku dan asap hitam tebal kemudiannya memenuhi kilang.
“Bomba membawa kami turun dengan tangga,” katanya.

