PEMBERIAN vaksin terbukti menyelamatkan nyawa petugas kesihatan apabila daripada 3,106 kakitangan yang dijangkiti Covid-19 selepas mendapat vaksin penuh, tidak seorang daripadanya meninggal dunia ataupun perlu mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
Malah, sebahagian besar kakitangan yang dijangkiti langsung tidak menunjukkan sebarang gejala atau hanya bergejala ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hanya tiga orang atau (0.1 peratus) diletakkan pada kategori 3 selepas mengalami radang paru-paru dan tiga lagi petugas diletakkan pada kategori 4 kerana perlu diberikan bantuan oksigen.
Bagaimanapun katanya, tidak seorang pun daripada 3,106 petugas itu diletakkan pada kategori 5 atau perlu mendapatkan rawatan ICU mengikut data yang diperoleh dari data terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari 24 Februari hingga 14 Julai lalu.
“Jadi rakyat perlu mempercayai vaksin dan juga data. Vaksin terbukti menyelamatkan nyawa dan apabila kesemua rakyat mendapat vaksin, kita boleh hidup bersama Covid-19,” tulisnya di Facebook malam tadi.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 2,088 petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 menunjukkan gejala ringan atau diletakkan pada kategori 2 manakala 1,012 kakitangan lain tidak bergejala (kategori 1).
Katanya, beliau sedar ramai orang tidak gembira dengan ciapannya di Twitter yang menyatakan terdapat petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 walaupun mendapat dua suntikan vaksin.
“Ya, anda masih boleh dijangkiti selepas menerima dos vaksin penuh namun dengan kadar jangkitan dan keterukan rendah selain kurang kemasukan ke hospital dan kematian,” katanya.
Sebanyak 245,932 petugas kesihatan sudah menerima vaksin penuh Covid-19 setakat ini.

