Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Tengku Adnan Tengku Mansor mengenepikan sabitan pertuduhan rasuah oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini. / Gambar FB Ahmad Maslan

AHLI Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini bebas daripada tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya diketuai Datuk Suraya Othman bagi melepas dan membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu dicapai dengan majoriti 2-1.

Pada prosiding itu, Hakim Datuk Ahmad Nasfy sependapat dengan Suraya membenarkan rayuan Tengku Adnan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta yang dijatuhkan terhadap Tengku Adnan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 21 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati Tengku Adnan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Bendahari Agung UMNO itu untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan.

Memetik laporan portal Sinar Harian, Tengku Adnan, 70, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, menerima RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan tugas rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.