PAHANG dan Pulau Pinang tidak akan kembali ke Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), sebaliknya akan terus berada dalam Fasa 2 walaupun jangkitan COVID-19 meningkat di kedua-dua negeri tersebut.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara bersasar akan digunakan sekiranya kes baharu terus melonjak di Pahang dan Pulau Pinang.
Kata beliau, keputusan itu kerana kerajaan yakin PKP secara bersasar boleh membendung dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
“Bagi Pahang dan Pulau Pinang, kita telah pun tetapkan nilai ambang 12.2 kes per 100,000 populasi sebagai indikator pertama, kapasiti respon di unit rawatan rapi (ICU) indikator kedua dan ketiga program vaksinasi.
“Kita telah buat keputusan tidak akan kembali ke Fasa 1. Apa yang kita laksanakan sekiranya kes melebihi apa yang telah pun dijangkakan di Pahang dan Pulau Pinang adalah pendekatan PKP bersasar.
“Bagaimanapun, nilai ambang ketiga iaitu vaksinasi akan terus dipertingkatkan dan kita yakin kes akan turun selepas lebih banyak vaksin diberi kepada negeri-negeri berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini.
Baca artikel berkaitan: Kedai alat tulis, gunting rambut dibenar beroperasi dalam Fasa Dua
Pahang merupakan antara lima negeri terawal yang beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN iaitu pada 5 Julai lalu bersama-sama Perlis, Kelantan, perak dan Terengganu.
Pulau Pinang pula diisytihar berganjak ke Fasa Dua pada 7 Julai.
Sebanyak 382 kes baharu dilaporkan di Pahang hari ini manakala 376 dikesan di Pulau Pinang.
Dalam perkembangan lain, Dr. Adham berkata, sebanyak 11.656 juta dos vaksin telah diberikan sejak bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sehingga Rabu lalu.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 19.0 respon kendiri bagi setiap 1,000 dos diterima melalui aplikasi MySejahtera untuk kesan advers susulan imunisasi (AEFI) biasa dan ringan.
Antara kesan yang sering dialami penerima vaksin, kata Dr. Adham adalah kesakitan pada tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan.
“Berdasarkan pelaporan sedia ada melalui sistem pemantauan AEFI NPRA, sebanyak 1.12 laporan diterima bagi setiap 1,000 dos.
“Daripada laporan ini, hanya 0.06 bagi setiap 1,000 dos vaksin yang diklasifikasikan sebagai serius dan memerlukan rawatan lanjut serta kemasukan ke hospital.
“Sebahagian besar kes tersebut hanya memerlukan kemasukan jangka pendek ke hospital dan boleh discaj setelah pemerhatian serta rawatan yang sesuai diberikan,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

