SEBANYAK 199 kes kematian akibat jangkitan COVID-19 telah dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah korban tertinggi sejak wabak itu menular di Malaysia.
Jumlah 199 korban baharu itu juga menjadikan kes kumulatif akibat COVID-19 telah mencecah 7,440 kematian.
Sebagai rekod, kes kematian tertinggi yang pernah dicatatkan sebelum ini berjumlah 153 korban, Ahad lalu.
Berdasarkan kadar korban dilaporkan hari ini, seramai 173 kematian melibatkan rakyat Malaysia manakala 26 lagi bukan warganegara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kematian tertinggi akibat COVID-19 masih berlaku di Selangor melibatkan 84 kes.
Kata beliau, ia diikuti sebanyak 57 kes yang dikesan di Kuala Lumpur, 16 di Melaka dan tujuh di Negeri Sembilan.
Beliau memaklumkan, masing-masing enam kes telah dikesan di Johor dan Pahang.
Baca artikel berkaitan: 98.5% kes baharu tidak bergejala, ringan, 93 lagi kematian
“Sebanyak tiga kematian dilaporkan di Terengganu; dua di Pulau Pinang, Perak dan Kelantan serta masing-masing satu di Sabah dan Sarawak.

“Berdasarkan kes hari ini, sebanyak 157 daripada keseluruhan 199 korban dilaporkan mempunyai sejarah penyakit.
“Kes brought in dead (BID) atau jenazah dibawa ke hospital adalah sebanyak 33,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan, daripada 11,985 kes harian yang dilaporkan hari ini, hanya 65 atau 0.5 peratus adalah daripada kategori 5 iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan.
Menurut beliau, sebanyak 45 kes atau 0.4 peratus lagi merupakan kategori 4 iaitu mempunyai radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen sementara 1.5 peratus (178 kes) dalam kategori 3 yang mempunyai radang paru-paru.
Beliau memberitahu, 48.7 peratus atau 5,847 kes merupakan kategori 2 yang bergejala ringan manakala 5,850 atau 48.9 peratus adalah kategori 1 yang tidak bergejala.

Katanya, kesemua kategori yang dilaporkan itu adalah berdasarkan kepada keadaan klinikal semasa baru didiagnos COVID-19.
“Ada di antara mereka kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan sama ada bertambah baik atau merosot ke kategori lebih tinggi.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil pendekatan bagi kes kategori 1 dan 2 yang berisiko rendah dan mempunyai kediaman sesuai untuk dikuarantin di rumah.
“Ini dapat membantu mengurangkan kesesakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan hospital manakala kes kategori 3 ke atas akan dimasukkan ke PKRC, wad hospital dan juga unit rawatan rapi (ICU),” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

