Durraini Baharuddin (kiri) dan Syakir Hashim
Durraini Baharuddin (kiri) dan Syakir Hashim

WAHED Technologies Sdn. Bhd. (Wahed Invest Malaysia) hari ini mengumumkan kerjasama dengan Value Partners Asset Management Malaysia Sdn. Bhd. (Value Partners Malaysia) bagi membolehkan dana tersenarai sebagai salah satu aset pelaburan di platform Robo Advisor Wahed.

VP-DJ Shariah China A-Shares 100 ETF merupakan dana dagangan bursa (ETF) Saham-A China patuh Syariah pertama di dunia, yang menjejaki prestasi indeks Dow Jones Islamic Market China A-Shares 100 Index (sebagai penanda aras).

ETF tersebut menggunakan strategi replikasi penuh dengan melabur dalam saham-A patuh syariah, yang bersesuaian dengan prinsip dan fokus perkhidmatan Wahed Invest Malaysia dalam menyediakan pelabur runcit akses kepada pelaburan patuh syariah tempatan dan global.

Wahed Invest Malaysia merupakan Pengurus Pelaburan Digital Islamik berlesen yang pertama di Malaysia yang dilancarkan pada tahun 2019. Kini, platform pelaburan ‘robo-advisor’ tersebut telah digunakan oleh lebih 200,000 orang pelabur tempatan dan sedunia.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Negara Wahed Invest Malaysia, Syakir Hashim berkata, pelancaran ETF Saham-A China memberi peluang unik bagi pelabur Malaysia untuk menyertai pertumbuhan ekonomi kedua terbesar di dunia sambil memastikan pelaburan patuh syariah.

“Dengan penyertaan ETF Saham-A China ke dalam portfolio Robo Advisor Wahed, pelanggan akan dapat menjejaki prestasi dana dan mencapai faedah kepelbagaian dengan tujuan memaksimumkan pulangan jangka panjang berdasarkan profil risiko,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Kerjasama antara Wahed Invest Malaysia dan Value Partners Malaysia untuk menawarkan akses kepada pelabur tempatan ke pasaran China, khususnya dalam pelaburan ekonomi baru, yang merangkumi sektor seperti teknologi, penggunaan, penjagaan kesihatan dan 5G.

Platform pelaburan ‘robo-advisor’ Wahed telah digunakan oleh lebih 200,000 orang pelabur.

Pelabur di platform pelaburan Wahed akan dapat melabur ke dalam ETF tersebut sebahagian daripada aset untuk pembinaan portfolio mereka. Peruntukan ETF akan ditentukan mengikut tahap risiko setiap pelabur dan jangkaan pulangan kepada portfolio mereka.

Kedua-dua syarikat berharap untuk memberi tumpuan kepada menyediakan pelaburan yang lebih inovatif untuk pelabur berfokuskan syariah melalui kaedah digital yang cekap dan komprehensif.

Pengarah Urusan Value Partners Malaysia, Durraini Baharuddin berkata, dengan mempertimbangkan pentingnya peruntukan Saham-A China dalam memperoleh pulangan portfolio untuk pelabur, Value Partners Malaysia menyambut baik inisiatif Wahed Invest Malaysia sebagai pengurus pelaburan digital syariah yang terkemuka di Malaysia dalam memberikan pendekatan inovatif berkaitan pengurusan pelaburan.

BERITA BERKAITAN Value Partners Malaysia lancar ETF Saham-A China patuh syariah

Wahed Invest Malaysia pula optimis dengan masa depan produk saham yang tersedia di platform mereka sebahagian daripada instrumen yang digunakan untuk pembinaan portfolio untuk pelabur. Dengan adanya ETF Saham-A China yang di dalam portfolio pelaburan yang tersedia melalui Wahed, pelabur bukan hanya akan mendapat pendedahan kepada pertumbuhan ekonomi China, sebaliknya dapat meningkatkan faedah kepelbagaian melalui pendedahan di kelas aset yang lain.

“Value Partners terkenal sebagai pakar pelaburan China selama lebih dari 28 tahun, dan sentiasa berusaha untuk menyediakan produk inovatif kepada para pelabur.

“Dengan memanfaatkan rekod prestasi kami yang terbukti dalam melabur di pasaran China, ETF Saham-A China baru kami adalah peluang unik bagi pelabur Malaysia untuk merebut peluang menyertai ekonomi China yang baru dengan berdasarkan prinsip patuh syariah. Kami gembira dengan kerjasama dengan Wahed Invest Malaysia dan berharap dapat menjalin kerjasama lebih erat selepas ini,” kata Durraini.

Berikutan permintaan yang tinggi untuk dana amanah patuh syariah di Asia Tenggara, mencatat kadar pertumbuhan tahunan 12.4% dari 2016 hingga 2020 (Cerulli Associates, Boston), dipercayai bahawa ini adalah masa yang paling tepat untuk menawarkan instrumen patuh syariah yang inovatif dengan cara yang cekap kepada pelabur.

ETF Saham-A China memberikan pendedahan khusus ke pelaburan saham patuh-syariah, sebahagian daripada ‘universe’ ekuiti Saham-A China.

Melalui kaedah kriteria kuantitatif yang digunakan, ETF Saham-A China juga akan memberi pendedahan kepada para pelabur mengenai ekonomi baru China dan membolehkan mereka menyertainya perkembangan pesat negara itu ke arah ekonomi maju yang berteraskan sektor teknologi, pengunaan, penjagaan kesihatan dan 5G.

Dengan penyediaan Saham-A China baru-baru ini ke dalam indeks global, peningkatan penyertaan pelabur asing di pasaran tersebut diharapkan dapat menyumbang ke penilaian semula aset yang lebih meningkat. – UtusanTV

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram