JABATAN Forensik Hospital Sungai Buloh tidak sama sekali terlibat dalam mengenakan caj pengurusan jenazah kepada waris korban COVID-19.
Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr. Kuldip Kaur berkata, kesemua waris perlu berurusan sendiri dengan syarikat dipilih bagi pengurusan pengembumian pesakit COVID-19.
Pada masa sama, beliau berkata, perkara itu juga terpakai untuk jenazah bukan COVID-19.
“Untuk makluman, Jabatan Forensik hanya terlibat dalam mengendalikan urusan pengambilan jenazah daripada wad sehingga tempat penyimpanan dan pengurusan jenazah COVID-19 atau bukan COVID-19 sahaja.
“Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh tidak sama sekali terlibat dalam mengenakan caj kepada waris si mati.
“Kesemua waris perlulah berurusan sendiri dengan syarikat yang dipilih oleh waris bagi pengurusan pengebumian pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Dua hospital di Selangor kini dikhusus untuk rawat COVID-19
Beliau mengulas audio suara yang tular dalam aplikasi WhatsApp baru-baru ini mengenai caj pengurusan jenazah pesakit COVID-19 sehingga mencecah RM9,000.
Hospital Sungai Buloh merupakan satu daripada dua hospital yang beroperasi sebagai hospital rawatan pesakit COVID-19 sepenuhnya di Selangor.
Satu lagi hospital adalah Hospital Ampang yang sebelum ini merupakan hospital hibrid.
Mei lalu, Hospital Sungai Buloh dilaporkan terpaksa menyediakan kontena khas sebagai tambahan tempat menyimpan jenazah yang meninggal dunia akibat COVID-19.
Sabtu lalu, Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif melaksanakan pengurusan jenazah COVID-19 secara berpusat bagi membantu mengatasi kesesakan di jabatan forensik hospital seluruh negeri dan mengelakkan waris menunggu terlalu lama.
Sejajar dengan langkah itu, Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Klang telah dipilih sebagai tempat pengebumian jenazah mangsa COVID-19.
Bagi jenazah bukan Islam pula, waris ahli keluarga perlu merujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menentukan lokasi pengebumian dan pengurusan krematorium yang bersesuaian.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut memaklumkan terdapat tiga hospital yang telah dikhususkan untuk mangsa COVID-19 sama ada beradama Islam mahu pun bukan iaitu Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Klang.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

