MOHD KAMARUDIN MD DIN./ Gambar FB JSJK Bukit Aman

PADA saat ramai yang terhimpit dari segi ekonomi akibat wabak COVID-19, ada pula segilintir manusia yang tergamak mengambil kesempatan dengan cara menipu.

Terbaharu, wujud pula sindiket penipuan yang membuat panggilan telefon menawarkan diskaun untuk pembayaran bil utiliti (seperti elektrik dan air) yang tertunggak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sindiket akan menghubungi mangsa yang mempunyai tunggakan bil dan menawarkan diskaun sekiranya mangsa membenarkan mereka melunaskan bil.

Katanya, sindiket kemudian memaklumkan akan mendahulukan pembayaran dan resit bayaran bil itu kononnya akan digunakan pihak mereka sindiket untuk mendapatkan pengecualian cukai.

“Setelah mendapat persetujuan mangsa, pihak sindiket menggunakan cek-cek yang tiada nilai atau cek tendang untuk membuat pembayaran melalui mesin deposit milik penyedia perkhidmatan utiliti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas Kamarudin, sistem penyedia perkhidmatan akan memaparkan rekod bahawa bayaran bil sudah dibuat dan sindiket kemudian akan meminta mangsa membuat pindahan wang kepada mereka melalui akaun bank pihak ketiga.

“Mangsa hanya akan sedar telah ditipu apabila pihak penyedia perkhidmatan gagal menunaikan cek yang didepositkan.

“Sehingga kini satu laporan polis telah diterima di Kuala Lumpur pada bulan ini melibatkan kerugian RM8,500 dan kes masih dalam siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, kata Kamarudin, pihaknya menggesa orang ramai yang mungkin sudah menjadi mangsa penipuan sindiket ini untuk tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran.

Baca artikel berkaitan: Polis terima 13 laporan vaksin didakwa kosong – Pengarah JSJ

18 warga China ditangkap terlibat penipuan dalam talian

Dalam pada itu, katanya, orang ramai dinasihatkan tidak melayan sebarang panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali.

Orang ramai juga dinasihatkan membuat pembayaran bil utiliti masing-masing terus kepada penyedia perkhidmatan yang sah.

Selain itu, gunakan portal Semak Mule http://semakmule.rmp.gov.my untuk membuat semakan kesahihan nombor telefon dan akaun bank yang diragui atau menghubungi CCID Scam Response Centre ditalian 03-2610559/1599 sekiranya ada sebarang keraguan atau maklumat berkaitan jenayah komersial.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram