HANYA 2.5 peratus daripada 17,045 kes harian baharu yang dilaporkan hari ini berada pada kategori 3, 4 dan 5 semasa baru menerima didiagnosis.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, jumlah 2.5 peratus itu iaitu 433 kes yang perlu ditempatkan di hospital merawat COVID-19 yang semakin penuh dan sesak.
Kata beliau, daripada jumlah berkenaan, 1.1 peratus atau 187 kes merupakan kategori 5 yang kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan; 124 kes (0.7 peratus) kategori 4 yang mengalami radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen manakala 122 kes lagi (0.7 peratus) kategori 3.
Dr. Noor Hisham memaklumkan, majoriti kes baharu dilaporkan hari ini adalah daripada kategori 1 yang tidak bergejala iaitu sebanyak 9,123 atau 53.5 peratus kes.
Beliau berkata, sebanyak 7,489 kes lagi (43.9 peratus) merupakan kategori 2 yang bergejala ringan.
“Pada hari ini, Selangor melaporkan jumlah kes positif COVID-19 tertinggi iaitu sebanyak 8,500 kes.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,884 kes (57.46 peratus) adalah dari saringan kontak rapat, 3,440 kes (40.47 peratus) dari saringan lain-lain, 175 kes (2.06 peratus) dari saringan kluster dan satu (1) kes (0.01 peratus) merupakan kes import A (penularan dari luar negara).
Baca artikel berkaitan: 96.8 peratus kategori 1 dan 2, 184 kematian

“Di negeri Selangor, didapati 72 peratus kes positif COVID-19 yang dilaporkan telah menjalani ujian pengesahan COVID-19 sama ada di klinik atau makmal swasta.
“Senario yang sama juga dapat dilihat di beberapa negeri lain. Ini menunjukkan tahap kesedaran telah meningkat untuk tampil mendapatkan ujian COVID-19 terutama jika bergejala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat ini, kata Dr. Noor Hisham, sebanyak 970 kes masih memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 501 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan, sebanyak 92 lagi kes kematian dilaporkan hari ini.
Beliau memberitahu, 27 kes telah dilaporkan di Selangor, 23 di Johor, 12 di Kuala Lumpur dan 11 di Negeri Sembilan.
“Sebanyak lima kes telah dikenal pasti di Melaka, empat di Kedah, tiga di Pahang, masing-masing dua di Sabah dan Sarawak serta satu di Perak, Terengganu dan Labuan.
“Sebanyak 84 daripada 92 kematian hari ini mempunyai sejarah penyakit manakala lapan kes merupakan brought in dead (BID) atau jenazah dibawa ke hospital,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

