JANGKITAN wabak COVID-19 semakin hari semakin membimbangkan walaupun data menunjukkan kebanyakan kes baharu berada dalam kategori rendah hasil kesan vaksinasi.
Semalam, negara merekodkan kes harian tertinggi apabila mencecah 17,045 penularan sekali gus menyaksikan jangkitan keseluruhan melebihi satu juta kes.
Hari ini, satu lagi data membimbangkan dilaporkan selepas angka kematian akibat jangkitan COVID-19 naik mendadak melepasi paras 200.
Sebanyak 207 korban telah dilaporkan sekali gus menjadikan kematian tertinggi sejak penularan wabak itu dilaporkan dalam negara.
Sebagai rekod, kes kematian tertinggi yang pernah direkodkan sebelum ini adalah 199 korban pada 21 Julai lalu.
Jumlah 207 korban baharu itu juga menjadikan kes kumulatif akibat COVID-19 telah mencecah 8,201 kematian.
Berdasarkan kadar korban dilaporkan hari ini, seramai 184 melibatkan rakyat Malaysia manakala 23 lagi bukan warganegara.
Baca artikel berkaitan: 2.5 peratus kes baharu kategori 3 ke atas, 92 lagi kematian
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kematian tertinggi akibat COVID-19 masih berlaku di Selangor melibatkan 57 kes.

Kata beliau, ia diikuti sebanyak 52 kes di Kuala Lumpur dan 24 lagi di Johor.
“Sebanyak 19 kes telah dilaporkan di Kedah, 18 di Melaka, 14 dikesan di Negeri Sembilan dan tujuh kematian dikenal pasti di Pahang.
“Selain itu, enam kes telah dilaporkan di Sabah, lima di perak, tiga Pulau Pinang dan dua lagi di Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 9,372 kes telah dilaporkan sembuh hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sembuh sebanyak 853,913 kes.
Namun begitu, jumlah kes aktif melonjak sehingga mencecah 165,840 kes hingga setakat ini.
“Status terkini kes COVID-19 sehingga hari ini juga menyaksikan daripada 14,516 jangkitan yang dilaporkan, sebanyak 14,513 adalah merupakan kes tempatan melibatkan 11,480 rakyat Malaysia dan 3,033 bukan warganegara.
“Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) pula meningkat melepasi empat angka pada kadar 1,009 kes manakala 524 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

