HANYA 0.7 peratus atau 95 kes daripada 14,516 kes harian COVID-19 yang dilaporkan hari ini merupakan pesakit kategori 5 iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan.
Malah, sebahagian besar atau 97.9 peratus daripada 0.7 peratus pesakit kategori 5 itu juga didapati tidak mempunyai sejarah menerima vaksin COVID-19.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, sebanyak 0.5 peratus atau 77 kes lagi adalah daripada kategori 4 yang menghidapi radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.
Jumlah itu juga, kata beliau, meliputi 85.7 peratus yang tidak mempunyai sejarah vaksinasi.
Dr. Noor Hisham berkata, 83 kes atau 0.6 peratus adalah kategori 3 yang menghidap radang paru-paru.
Beliau berkata, majoriti jangkitan baharu yang dilaporkan hari ini berada dalam kategori 1 yang tidak bergejala atau kategori 2 iaitu bergejala ringan.
“Sebanyak 7,216 kes merupakan kategori 1 dengan 95.6 peratus daripadanya tidak mempunyai sejarah vaksinasi. Kadar yang dilaporkan hari ini juga merangkumi 49.7 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Baca artikel berkaitan: 207 kematian angkara COVID-19, 1,009 terima rawatan di ICU
“Baki 7,045 kes pula adalah kategori 2 yang mempunyai gejala ringan dengan 87.6 peratus tidak mempunyai sejarah vaksinasi.
“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal mereka semasa baru didiagnos COVID-19. Ada di antara mereka kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga berubah status kesihatan sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham memaklumkan, secara keseluruhannya 1.8 peratus kes dilaporkan hari ini berada pada kategori 3 hingga lima dengan 84 peratus daripadanya tiada sejarah vaksinasi.
Menurut beliau, 98.2 peratus lagi pula kategori 1 dan 2 dengan 92 peratus tidak mempunyai sejarah vaksinasi.
Dr. Noor Hisham berkata, majoriti besar kes yang baru didiagnos COVID-19 tidak mempunyai sejarah vaksinasi.
“Kes kategori 1 dan 2 yang berisiko rendah dan mempunyai kediaman yang sesuai dibenar isolasi di rumah.
“Ini dapat membantu mengurangkan kesesakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) serta hospital-hospital terutama di Lembah Klang. Oleh itu, kes-kes kategori 3 hingga 5 akan dimasukkan ke PKRC, wad-wad hospital dan juga unit rawatan rapi (ICU) di hospital.
“Oleh itu, apabila dilihat senario di hospital-hospital, sememangnya pesakit kategori 3 hingga 5 jauh lebih tinggi peratusannya. Ini kerana kebanyakan pesakit kategori 1 dan 2 diisolasi di rumah,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

