SELEPAS buat pertama kali kes melepasi angka 17,000 sekali gus menjadi jangkitan harian tertinggi semalam, penularan COVID-19 menyaksikan penurunan hari ini.

Sebanyak 14,516 telah dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah kumulatif mencecah 1.027 juta.

Seperti hari-hari sebelumnya, Lembah Klang terus menjadi pusat penularan tertinggi wabak COVID-19.

Walau bagaimanapun, jumlah kes di Selangor menurun hampir 2,000 jangkitan kepada 6,508 hari ini.

Kes baharu di Kuala Lumpur turut susut kepada 1,425 berbanding 2,045 yang dilaporkan semalam.

Namun begitu, peningkatan kes mencatatkan kebimbangan di Johor selepas buat pertama kali melepasi empat angka jangkitan hari ini.

Ini selepas penularan di Johor meningkat kepada 1,449 kes.

Situasi sama juga dilihat di Kedah yang buat hari kedua berturut-turut mencatatkan empat angka walaupun menurun sedikit kepada 1,160 hari ini.

Berdasarkan data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kebanyakan negeri lain bagaimanapun mula mencatatkan penurunan jangkitan.

Baca artikel berkaitan: 17,045 jangkitan hari ini, kes kumulatif lepasi satu juta

Perkara itu dapat dilihat di Sabah yang turun kepada 720; Sarawak (356); Negeri Sembilan (452) dan Pulau Pinang (402).

Penurunan kes juga dilaporkan di Perak yang merekodkan 509; Pahang sebanyak 386 dan Terengganu mencatatkan 245 kes harian baharu.

Kelantan dan Melaka pula menyaksikan peningkatan sedikit kes baharu masing-masing kepada 346 dan 373 kes.

Operasi vaksinasi berterusan di Labuan pula semakin membuahkan hasil apabila kes harian baharu terus susut mendadak dengan hanya lapan kes dilaporkan hari ini.

Sementara itu, Putrajaya pula melaporkan 94 jangkitan manakala hanya dua kes dikesan di Perlis.

Berikut pecahan kes baharu mengikut negeri:

Sehingga 26 Julai 2021: Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 14,516 kes (1,027,954 kes).

Pecahan setiap negeri (Kumulatif):
Selangor – 6,508 (373,977)
WPKL – 1,425 (111,476)
Johor – 1,449 (85,707)
Sabah – 720 (80,190)
Sarawak – 356 (74,342)
Negeri Sembilan – 452 (67,067)
Pulau Pinang – 402 (42,499)
Kelantan – 346 (40,019)
Kedah – 1,160 (39,637)
Perak – 590 (34,509)
Melaka – 373 (28,467)
Pahang – 386 (21,773)
Terengganu – 245 (14,563)
WP Labuan – 8 (9,607)
WP Putrajaya – 94 (3,461)
Perlis – 2 (660)

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram