KERAJAAN memberi jaminan semua warga pendidik dan kumpulan sokongan akan menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan bermula yang dijadualkan pada September ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenal pasti bilangan guru, anggota pelaksana dan pekerja perkhidmatan kontrak untuk mendapatkan janji temu dos pertama vaksin.
“Setakat semalam, sejumlah 303,682 atau 73.5 peratus guru di seluruh negara yang telah terima vaksin satu dos adalah 303,682 guru iaitu 73.5 peratus.
“Sementara 45,197 anggota kumpulan pelaksana (67 peratus) dan 33,633 pekerja perkhidmatan sokongan kontrak (38 peratus) manakala sekolah swasta 12,894 guru (66.4 peratus) sudah terima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” ketika menggulung sesi penerangan mengenai program vaksin di Dewan Rakyat hari ini.
“Saya bersama menteri pendidikan beri jaminan bahawa semua warga pendidikan akan diberi vaksinasi sebelum sekolah bermula,” katanya ketika menggulung pertanyaan Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.
Khairy hari ini membentangkan penerangan berhubung pelaksanaan PICK dan seramai 23 Ahli Parlimen mengajukan pertanyaan dan cadangan yang antara lain turut menyentuh isu vaksin bagi sektor pendidikan, kelewatan perolehan vaksin serta masalah logistik dan pengagihan vaksin.
Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) membangkitkan soal vaksinasi bagi sektor pendidikan yang turut mencadangkan agar semua warga Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) diberikan vaksin.
Dalam perkembangan lain, Khairy memaklumkan vaksin dibangunkan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS) yang berada dalam ujian klinikal fasa tiga di negara ini sejak Januari lepas mungkin akan dapat diketahui keputusannya hujung tahun ini.
“Ada syarikat yang dah mula proses pendaftaran vaksin ini dengan NPRA (Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara), bila NPRA dah puas hati dengan dossier atau maklumat terkandung dalam permohonan itu maka kita akan beri kelulusan.
“Saya juga maklum bahawa vaksin ini telah terima Emergency Use Authorisation di China… jadi vaksin ini mungkin kita akan luluskan dalam masa terdekat,” katanya menjawab persoalan yang dibangkitan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu).
Dalam perkembangan lain, Khairy sekali lagi memaklumkan isu berhubung penetapan harga siling vaksin COVID-19 untuk pasaran swasta akan ditentukan dalam mesyuarat JKJAV minggu hadapan.
“Perkara ini telah dimaklumkan pada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan disyor jawatankuasa itu semalam,” katanya sambil memberitahu rundingan dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin untuk memuktamadkan pemerolehan vaksin bagi 2022 sedang dilakukan. – Bernama

