HARI demi hari kadar pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus mencatatkan jumlah memberangsangkan.
Setelah berjaya menjadi negara terpantas dari segi vaksinasi minggu lalu apabila mencecah setengah juta dos selama enam hari, kadar pemberian kekal stabil minggu ini.
Semalam, sebanyak 468,526 dos vaksin lagi telah diberikan merangkumi 223,479 bagi suntikan pertama dan baki 245,047 untuk dos kedua.
Jumlah yang dicapai itu sekali gus menjadikan secara keseluruhan sebanyak 21.668 juta dos telah pun diberikan sejak PICK bermula penghujung Februari lalu.
Kadar yang berjaya dicapai itu melibatkan sebanyak 14.471 juta individu atau 44.3 peratus populasi telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.
Secara keseluruhan, lebih tujuh juta individu atau 22 peratus populasi pula telah pun melengkapkan dua dos suntikan vaksin masing-masing.
Lebih tujuh juta individu atau lebih tepat 7.197 juta itu juga merangkumi 30.7 juta populasi dewasa seluruh negara.
Baca artikel berkaitan: Lebih 21 juta vaksin diberi, 6.952 juta lengkap dua dos
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Lembah Klang terus mencatatkan pemberian tertinggi sejajar dengan usaha menyuntik vaksin bagi mengurangkan penularan COVID-19 di kawasan itu.

Bagi dua dos vaksin, Dr. Adham memaklumkan, Lembah Klang terus mencatatkan pemberian tertinggi melibatkan 2.427 juta atau 28.8 peratus populasi.
Beliau berkata, ia diikuti liputan 1.368 juta (48.6 peratus populasi) di Sarawak; 492,073 (19.6 peratus populasi) di Perak; 470,814 (12.5 peratus populasi) di Johor; dan sebanyak 409,209 (10.5 peratus populasi) di Sabah.
Menurut Dr. Adham, Negeri Sembilan menjadi penerima keenam tertinggi iaitu sebanyak 319,896 individu melengkapkan dua dos diikuti Kedah (319,027) dan 313,195 di Pulau Pinang.
“Seterusnya, Pahang berjumlah 269,754; Kelantan telah mencatatkan 261,927 lengkap dos kedua dan 223,227 di Terengganu.
“Di Melaka pula, sebanyak 188,918 telah lengkap dua dos vaksin diikuti 78,265 di Perlis dan 56,294 di Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga menjadi penerima tertinggi bagi pemberian satu dos vaksin iaitu sebanyak 5.997 juta.
Selain Lembah Klang negeri penerima dos pertama tertinggi, Sarawak menjadi negeri tertinggi seterusnya iaitu seramai 1.734 juta individu.
Ia diikuti Johor 1.184 juta; Sabah (907,428); Pulau Pinang (786,878) dan Perak (781,493).
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

