kucing
TIDAK mungkin ada orang yang hendak menjual kucing baka baik dengan harga RM200-RM300. - Gambar hiasan

SECARA logiknya tiada orang yang hendak menjual barang atau haiwan berharga tinggi dengan harga rendah dan jika ada, anda tentu boleh mengesyaki ‘sesuatu yang tidak kena’ sedang berlaku.

Tetapi itulah yang sering berlaku – penipu atau scammer akan mudah memperdaya mangsa dengan meletakkan harga rendah bagi barang atau haiwan berharga tinggi yang sebenarnya tiada dan akhirnya mangsa kehilangan wang.

Taktik mengiklankan kucing baka baik juga sering digunakan oleh para penipu dalam talian ini kerana mereka tahu ramai peminat kucing demikian tetapi tidak mampu untuk membeli dengan harga pasaran yang mahal.

Begitulah nasib seorang wanita berusia 24 tahun apabila percaya apabila melihat iklan dalam talian yang menawarkan kucing baka British Shorthair dan British Longhair dengan harga hanya RM290 dan RM240! Suatu yang tidak mungkin berlaku.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt. Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa mendakwa telah menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp pada iklan di laman itu dan berurusan dengan seorang lelaki.

BERITA BERKAITAN Awas scammer! Siti Sarah bagi tempoh 48 jam atau tindakan tegas akan diambil

“Dia kemudiannya memindahkan wang secara dalam talian ke akaun bank yang diberikan sebanyak empat kali berjumlah RM3,230 yang dikatakan sebagai bayaran kucing dan proses dokumentasi.

“Bagaimanapun, suspek dikatakan terus meminta wang atas pelbagai alasan termasuk bagi mendapatkan sijil kelahiran kucing menyebabkan mangsa curiga. Mangsa mendakwa enggan meneruskan pembelian dan meminta wangnya dikembalikan semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa mendakwa suspek berkeras tidak mahu memulangkan wang itu, menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata seorang guru wanita berusia 27 tahun dari Cameron HIghlands turut mendakwa dirinya kerugian RM30,000 akibat diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) dan anggota polis.

Menurutnya, mangsa dihubungi seorang wanita petang semalam dengan mendakwa syarikat didaftarkan atas nama mangsa mempunyai tunggakan cukai sebelum seorang lelaki kononnya berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah memaklumkan dirinya terlibat dengan kumpulan pengedar dadah.

“Mangsa mendakwa telah memindahkan semua wang simpanannya ke akaun diberikan anggota polis itu bagi tujuan siasatan pada 4.30 petang semalam.

“Sejak itu dia tidak menerima lagi panggilan telefon selain gagal menghubungi suspek sekali gus menyebabkan berasa ditipu,” katanya.