menyamar
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor mengesan terdapat pihak menyamar dan menggunakan nama Ayob Khan bagi tujuan jenayah itu.

DALAM tempoh sekatan pergerakan akibat penularan COVID-19 ketika ini, ramai yang mengambil kesempatan memulakan perniagaan sendiri.

Namun begitu, ada juga segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan saluran salah semata-mata mahu mengaut keuntungan.

Itu yang berlaku kepada sebuah sindiket pengedaran dan pemprosesan arak tiruan serta tidak bercukai yang lumpuh selepas diserbu polis di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan yang dijalankan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam dibantu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara telah membuat serbuan di sebuah premis di kawasan perumahan tersebut kira-kira pukul 8.10 pagi semalam.

Dalam serbuan yang dijalankan itu, Ayob Khan berkata, polis telah berjaya menangkap dua suspek warga tempatan berusia 27 dan 41 tahun yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan minuman keras dipercayai arak tiruan dan tidak bercukai.

Kata beliau, polis turut menahan empat warga asing berumur lingkungan 29 hingga 37 tahun yang dipercayai bekerja dalam premis tersebut.

“Hasil siasatan kita percaya aktiviti ini telah beroperasi kira-kira lima bulan dengan mereka menggunakan ibu arak untuk dicampurkan dengan alkohol dan dibungkuskan pelbagai jenama terkenal bagi pasaran tempatan.

Baca artikel berkaitan: 90 serbuan, 6 sindiket judi berjaya ditumpaskan – Ayob Khan

“Semua yang ditahan ini hanya pekerja bawahan, mungkin ada ketua sindiket.

“Isu arak tidak bercukai dan tiruan ini bukan pertama kali tetapi ini salah satu kita dapat kenal pasti dan ambil tindakan sebab aktiviti ini menguntungkan.

“Semua jenama yang ditiru adalah arak yang mahal. Orang biasa kalau tengok mungkin tak dapat nak bezakan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Ayob Khan, jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM3 juta melibatkan nilai arak RM2 juta; jumlah anggaran cukai arak RM870,000 dan lain-lain rampasan bernilai RM135,000.

Polis turut merampas pelbagai bahan peralatan di samping sebuah lori, kereta dan 20,000 pelekat kastam yang disyaki palsu.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, sepanjang 1 Julai hingga semalam, Batalion 5 Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam telah berjaya menahan 22 lelaki iaitu 10 warga tempatan dan 12 bukan warganegara berhubung operasi penyeludupan serta kontraban.

Katanya, nilai keseluruhan dalam operasi dijalankan itu adalah berjumlah RM4.5 juta.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram