Ayat ‘mengekang tabiat tidak sihat dalam kalangan rakyat’ itu hanya sekadar penyedap telinga

Dari Penulis

Belanjawan 2026 membuka lembaran baru apabila kerajaan Malaysia mengumumkan kenaikan cukai terhadap rokok dan minuman keras. Sebenarnya, ia bukan sesuatu yang mengejutkan pun, perkara biasa sejak dahulu.

Secara asasnya, tujuannya jelas. Sudah tentu untuk meningkatkan pendapatan negara. Memang sewajarnya begitu. Cuma, alasan untuk mengekang tabiat tidak sihat di kalangan rakyat itu hanya sekadar penyedap telinga saja. Pernahkah golongan ini mendengar kata?

Kita lihat dari sudut cukai dahulu. Ia bagus untuk memberi pendapatan buat kerajaan. Antara cara paling cepat untuk menambah pendapatan tanpa perlu menekan sektor produktif lain.

Menurut data sebelum ini, hasil cukai daripada produk tembakau dan alkohol telah menyumbang lebih RM5 bilion setahun kepada kerajaan. Dengan kadar cukai baharu, angka ini dijangka meningkat ketara.

Duit inilah yang boleh disalurkan semula kepada pelbagai sektor – kesihatan terutamanya. Secara tidak langsung, rakyat juga mendapat manfaat. Boleh juga menampung kos hospital kerajaan dalam menangani penyakit yang disebabkan tabiat buruk ini.

Dari sudut moral pula, kenaikan cukai ini bermaksud kerajaan membawa mesej tidak menggalakkan tabiat yang merosakkan diri. Ia satu bentuk pendidikan tidak langsung kepada masyarakat, memberi peringatan bahawa keseronokan sementara itu datang dengan harga yang semakin tinggi, bukan hanya pada dompet, tetapi juga pada paru-paru dan hati.

Dari sudut kesihatan awam, cukai tinggi sering digunakan untuk mengurangkan kadar penggunaan. Di beberapa negara seperti Australia dan Singapura, langkah ini terbukti menurunkan jumlah perokok baharu. Namun, di negara kita, hasilnya agak terbatas kerana satu punca yang klasik – kedegilan perokok dan peminum tegar, juga kewujudan arak dan rokok seludup.

Arak dan rokok seludup antara masalah besar di Malaysia yang sering melemahkan keberkesanan dasar cukai kerajaan. Ia berleluasa, menjadi industri gelap yang menyebabkan kerajaan kerugian berbilion ringgit setiap tahun.

Menurut laporan Retail Group Malaysia dan Confederation of Malaysian Tobacco Manufacturers (CMTM), kira-kira 56% daripada rokok yang dijual di pasaran Malaysia adalah rokok seludup. Ini bermakna lebih separuh perokok di negara ini sebenarnya menghisap rokok haram.

Cukai tinggi yang melojakkan harga rokok bukan membuat si penghisapnya insaf, tetapi beralih kepada rokok murah dari pasaran gelap. Jadi, siapa kata harga rokok naik akan menginsafkan golongan ini?

Bagi perokok tegar, mereka akan tetap merokok walau terpaksa berjimat makan tengah hari. Begitu juga peminum arak, yang sanggup berbelanja besar untuk sebotol ‘ubat hilang stres’ walaupun tahu kesannya boleh membawa padah.

Inilah sisi hitam realiti sosial. Kenaikan cukai tidak semestinya menyembuhkan ketagihan. Perokok mungkin beralih kepada jenama lebih murah atau rokok seludup, manakala peminum tegar hanya menukar jenis arak kepada yang lebih murah dan rendah kualitinya. Hasilnya, graf kesihatan tetap merosot, sementara aktiviti penyeludupan dan pasaran gelap pula semakin rancak.

Berdasarkan National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023, kira-kira 4.8 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok. Ini bersamaan dengan 21.3% daripada populasi dewasa, atau kira-kira 1 daripada setiap 5 orang.

Letaklah setinggi mana pun cukai itu, persoalannya apakah ia mendidik rakyat untuk menjadi lebih sihat? Atau sekadar menjadikan mereka lebih kreatif mencari jalan lain untuk meneruskan ketagihan?

Nita Dahnin ialah pengarang Mastika di UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Tunku Zain Al-‘Abidin dimasyhurkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

YANG Dipertuan besar Negeri Sembilan, Tunku Muhriz Tuanku Munawir berkenan memasyhurkan putera keduanya, Tunku Zain Al-'Abidin sebagai Tunku Panglima...

More Articles Like This