KADAR pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus berjalan rancak di seluruh negara.
Sehingga semalam, 39.5 peratus populasi dewasa seluruh negara telah pun melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.
Jumlah 39.5 peratus itu merangkumi 9.246 juta individu di seluruh negara sejak PICK dimulakan penghujung Februari lalu.
Secara keseluruhan, sebanyak 25.366 juta dos vaksin telah pun diberikan setakat ini.
Ia merangkumi jumlah 16.119 juta bagi individu yang sekurang-kurangnya telah pun menerima satu dos suntikan vaksin.
Walau bagaimanapun, pemberian harian vaksin yang diberikan semalam telah menyaksikan penurunan sehingga ke paras di bawah 400,000.
Sebanyak 357,981 dos telah diberikan semalam merangkumi 160,320 untuk suntikan pertama dan 197,661 bagi dos kedua.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah populasi keseluruhan yang telah pun melengkapkan dua dos vaksin telah mencecah 28.3 peratus.

Baca artikel berkaitan: Lebih 9 juta lengkap dua dos, keseluruhan 25.008 juta
Bagi dua dos vaksin, Dr. Adham berkata, Lembah Klang terus mencatatkan pemberian tertinggi melibatkan 3.439 juta atau 40.8 peratus populasi.
Beliau berkata, ia diikuti liputan 1.552 juta (55.1 peratus populasi) di Sarawak; 601,783 (15.9 peratus populasi) di Johor; 577,046 (23.0 peratus populasi) di Perak; dan sebanyak 494,270 (12.6 peratus populasi) di Sabah.
Menurut Dr. Adham, Negeri Sembilan menjadi penerima keenam tertinggi iaitu sebanyak 441,798 individu melengkapkan dua dos diikuti Kedah (423,211) dan 417,186 di Pulau Pinang.
“Seterusnya, Pahang berjumlah 318,755; Kelantan telah mencatatkan 326,960 lengkap dos kedua dan 265,622 di Terengganu.
“Di Melaka pula, sebanyak 239,280 telah lengkap dua dos vaksin diikuti 89,289 di Perlis dan 59,345 di Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga menjadi penerima tertinggi bagi pemberian satu dos vaksin iaitu sebanyak 6.292 juta.
Selain Lembah Klang negeri penerima dos pertama tertinggi, Sarawak menjadi negeri tertinggi seterusnya iaitu seramai 1.788 juta individu.
Ia diikuti Johor 1.456 juta; Sabah (1.158 juta); Perak (928,150) dan Pulau Pinang (893,682).
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

