KELONGGARAN diberikan kepada individu menerima dua dos vaksin di negeri-negeri mengikut fasa tertentu dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) disifatkan sebagai bukti kegagalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Proklamasi Darurat.
Perkara itu disuarakan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang mengambil maklum mengenai respons rakyat termasuk pakar pelbagai bidang berkaitan pelaksanaan kelonggaran berkenaan.
Menurut Majlis Presiden PH, walaupun ramai yang mungkin berasa lega dengan kelonggaran tersebut, namun peringatan daripada pakar kesihatan awam mengenai sistem kesihatan awam di negeri-negeri tersebut wajib dipandang serius.
Katanya, ia termasuk menambah peruntukan bagi rawatan COVID-19 khususnya meningkatkan jumlah katil unit rawatan rapi (ICU), pemekat oksigen, menjalankan saringan ujian secara awam mengikut syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta lain-lain keperluan di negeri-negeri Fasa 2.
“Majlis Presiden juga menekankan bahawa jumlah vaksin dos pertama di negeri-negeri wajib dipertingkat segera sebelum Hari Kebangsaan pada 31 Ogos terutama di Sabah yang merupakan negeri berisiko tinggi dalam jangkitan dan mempunyai peratus jumlah dos pertama paling rendah dalam negara.
“Memandangkan penerima dua dos vaksin masih berisiko menjadi pembawa virus COVID-19, tidak boleh diketepikan kemungkinan gelombang baharu di negeri-negeri Fasa 2.
Baca artikel berkaitan: Individu lengkap 2 dos vaksin Covid-19 nikmati kelonggaran SOP hari ini
“Memandangkan virus COVID-19 boleh tersebar sebagai titisan (droplet) atau aerosol, kami berpandangan SOP pengudaraan tempat-tempat kerja termasuk hotel dan restoran mesti dikemaskini dan dikuatkuasa dengan lebih tegas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Mengulas lanjut, Majlis Presiden PH juga mengulangi pendirian bahawa kerajaan perlu memberi suntikan fiskal tambahan secara langsung yang lebih besar iaitu sekurang-kurangnya RM45 bilion untuk pekerja, perniagaan dan kesihatan demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.
Menurut PH, kerajaan juga harus membantu premis-premis termasuk hotel, inap desa dan restoran yang akan menerima pelanggan yang sudah menerima dua dos vaksin dalam memastikan kesemua pekerja mereka telah menerima sekurang-kurangnya vaksin dos pertama.
“Tanpa suntikan tambahan RM45 bilion ini, jemputan untuk hanya seorang wakil PH ke dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) adalah tidak bermakna dan ditolak kerana ia bagai ‘melepaskan batuk di tangga’ untuk mengesahkan dasar ekonomi dan pandemik COVID-19 oleh Kerajaan Perikatan Nasional yang telah gagal,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

