Pengerusi Perhubungan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM), Syed Muhammad Imran SN Syed Abdul Aziz (tengah) mengadakan sidang media selepas menyerahkan memorandum untuk memohon pengampunan Diraja ke atas Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sekaligus melantik beliau sebagai Perdana Menteri Interim "Caretaker" di hadapan Pintu 3 Istana Negara, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERSATUAN Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) menyerahkan warkah memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon Seri Paduka memberi pengampunan diraja kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan melantik Ahli Parlimen Pekan itu sebagai Perdana Menteri interim.

Pengerusi PSUAM, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, Najib dicadangkan sebagai Perdana Menteri interim kerana beliau sudah terbukti mampu untuk mentadbir negara dengan baik.

“Saya mencadangkan Seri Paduka dapat memberikan pengampunan diraja kepada Najib daripada apa jua tindakan mahkamah baik yang sedang berlangsung atau yang telah dijatuhi hukuman bersalah,” katanya kepada pemberita di pekarangan Istana Negara hari ini.

Menurut Syed Muhammad Imran, ketokohan dan pengalaman Najib sudah terbukti ketika negara berada bawah pemerintahannya dulu.

“Pada pandangan saya, Najib semasa memegang jawatan sebagai perdana menteri keenam tempoh hari adalah amat baik serta memberangsangkan.

“Dengan keupayaan dan kecekapannya mengurus ekonomi negara di samping membawa nama baik Malaysia ke persada antarabangsa,” jelas Pengerusi PSUAM itu.

Menurutnya, berdasarkan pengamatannya, ramai rakyat Malaysia mahukan Najib kembali menerajui negara untuk berhadapan krisis COVID-19 dan ekonomi.

“Kami mahu Datuk Seri Najib mentadbir negara ini tanpa ganggu gugat sesiapa. Sebab itu kami mahu pengampunan diraja. Ini pendapat kami,” katanya.

Baca artikel berkaitan: UMMAH, 175 NGO Islam bimbang tiada pihak ada majoriti jika kerajaan terbubar

Sementara itu, menerusi satu hantaran Facebook miliknya, Najib menafikan ada berhubung dengan PSUAM mengenai petisyen memohon pengampunan diraja ke Istana Negara pagi tadi.

Ahli Parlimen Pekan itu menghargai tindakan NGO berkenaan yang mengambil berat tentang dirinya, namun menafikan pernah berhubung dengan mereka.

Najib dalam masa sama turut mengulangi hasrat untuk melalui proses perbicaraan dan perundangan yang adil dan telus tanpa campur tangan politik.

Katanya, itu merupakan satu-satunya cara sahaja untuk bersihkan nama sepenuhnya.

“Kita tahu-tahu lah pihak siapa punya kerja untuk kenakan saya.

“Saya berterima kasih pada NGO ini sebab mengambil berat pada saya tetapi saya tak pernah berhubung dengan mereka dan tidak diberitahu tentang petisyen mereka kepada Istana pagi tadi.

“Saya ulang…Saya mahu kes-kes saya melalui proses perbicaraan dan perundangan yang adil dan telus sebab ianya satu-satu cara sahaja untuk bersihkan nama saya sepenuhnya.

“Saya tidak mahu kes saya digugurkan begitu sahaja dan saya tidak mahu apa-apa campur tangan politik.

“Saya amat yakin saya tidak bersalah.Sebab itu apa perlunya saya diampun sekiranya saya tak salah? Berani kerana benar,” katanya yang memuat naik tangkap layar sebuah portal yang didakwanya portal sebuah perikatan parti politik.

Najib dilantik sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009 untuk menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bekas Presiden UMNO itu memegang jawatan tersebut sehingga 9 Mei 2018 ekoran kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada 28 Julai tahun lalu, Najib didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Bagaimanapun, kes tersebut kini di peringkat Mahkamah Rayuan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram