GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) bersama 175 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menyatakan kebimbangan bahawa tiada mana-mana pihak yang mampu memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan sekiranya kerajaan yang ada ini terbubar.
Kebimbangan UMMAH dan 175 NGO itu dinyatakan mereka di dalam memorandum yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu hari ini.
Jika ini, berlaku kata mereka, ia sudah pasti akan menjejaskan dan meletakkan negara dalam keadaan yang amat tidak stabil sekali gus menjejaskan usaha dan fokus kerajaan menagani COVID-19
Dalam kenyataan bersama, NGO berkenaan memaklumkan mereka menyerahkan memorandum merayu campur tangan Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu untuk menitahkan agar pemimpin politik mengutamakan nyawa rakyat ketika menghadapi pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan.
Kata mereka, rayuan NGO-NGO Islam ini juga supaya Raja-Raja Melayu menitahkan pemimpin parti politik berhenti bercakaran dan meminta semua pemimpin yang berkenaan itu supaya memberi keutamaan kepada nyawa rakyat, bukannya pada percaturan kuasa.
“Kebimbangan patik sekalian, jika sekiranya kerajaan yang ada ini terbubar, maka tiada mana-mana pihak yang memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan.
“Sekiranya keadaan ini berlaku ia sudah pasti akan menjejaskan dan meletakkan negara dalam keadaan yang amat tidak stabil. Ini akan menjejaskan usaha dan fokus kerajaan menagani COVID-19,” kata kenyataan itu.
Menerusi kenyataan tersebut, NGO-NGO berkenaan juga berpendapat isu pertukaran Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri, atau pertukaran kerajaan bukanlah perkara yang sesuai dilakukan pada masa ini kerana ia hanya akan menambahkan lagi kecelaruan sedia ada.
Tegas mereka, nyawa 32 juta rakyat Malaysia tidak patut dipertaruhkan hanya kerana memuaskan nafsu segelintir ahli politik yang tamakkan kuasa.
“Tidak ada jaminan bahawa pertukaran Perdana Menteri atau kerajaan pada masa sekarang akan dapat mempercepatkan langkah membasmi COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
“Apa yang pacal patik sekelian khuatiri ialah ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk dan nasib rakyat akan menjadi lebih buruk.
“Atas sebab-sebab di atas maka patik sekalian memohon agar Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku dapat menamatkan pertelingkahan yang merugikan agama, bangsa dan negara ini,” kata NGO-NGO berkenaan.
Menurut kenyataan itu, UMMAH dan 175 NGO turut menyambut titah nasihat daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Johor dan Pemangku Raja Pahang yang menitahkan agar pemimpin berhenti daripada perebutan kuasa dan mengutamakan kemaslahatan rakyat dan perpaduan ummah.

Baca artikel berkaitan: Sultan Ibrahim kecewa ada pemimpin berebut kuasa
Utamakan rakyat, bukan agenda berebut kuasa – Yadim
“Kerisauan dan kekecewaan yang dizahirkan oleh baginda Raja-Raja Melayu berkaitan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan ini perlu ditangani oleh semua pihak.
“Patik sekalian amat sedih dan gusar kerana kebelakangan ini pemimpin-pemimpin politik terus-menerus sibuk berebut kuasa dalam keadaan di mana negara sedang bergelut dengan kes-kes positif COVID-19 yang meningkat sehingga lebih daripada 20,000 kes sehari dengan kes kematian juga sentiasa berada dalam lingkungan tiga angka.
“Seharusnya pada masa sekarang ini semua pihak berganding bahu dan berkongsi ikhtiar bagi memastikan COVID-19 dapat dibendung, program imuniti berkelompok dapat dicapai dan ekonomi negara dapat digerakkan semula,” kata UMMAH dan NGO berkenaan.
Menurut mereka, jika semua itu dapat dilakukan secara bersama dan penuh istiqamah, negara ini akan kembali pulih seperti sedia kala dalam tempoh yang sepatutnya.
“Malangnya pemimpin-pemimpin politik lebih mengutamakan ego masing-masing yang berteraskan semata-mata kepada kepentingan kepartian dan kelompok bukannya kesejahteraan rakyat terbanyak.
“Mereka tidak menggunakan Parlimen sebagai tempat untuk mencari kata sepakat bagi memerangi musuh bersama, sebaliknya merosakkan demokrasi dengan cara menyalahgunakannya bagi kepentingan sendiri,” kata NGO tersebut.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

