SEGALA usaha yang telah dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani pandemik COVID-19 semakin menghampiri kejayaan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Perdana Menteri, beberapa langkah diambil kerajaan PN termasuk Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang bagi mempercepatkan proses vaksinasi telah menyaksikan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital bagi semua kumpulan umur mula menunjukkan penurunan.
Kata beliau, perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa negeri iaitu Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri di Lembah Klang juga telah mula kelihatan.
Beliau berkata, data dikumpul Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kesemua negeri tersebut telah menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin bagi populasi dewasa telah melebihi 40 peratus.
“Semua pencapaian ini tidak mungkin dapat kita lihat pada hari ini tanpa perancangan yang rapi dan pelaksanaan strategi yang kukuh oleh Kerajaan, serta kerjasama dan sokongan yang sangat baik daripada rakyat. Saya pernah nyatakan dahulu, dan saya akan katakan sekali lagi.
“Rakyat Malaysia, anda semua adalah insan yang hebat. Anda semua begitu tabah dan sabar mengharungi pandemik ini walaupun pada hakikatnya amat sukar untuk dilakukan.
“Insya-Allah kita pasti akan berjaya keluar dari cengkaman pandemik ini dengan teratur dan selamat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Baca artikel berkaitan: Kedai cuci kereta, gunting rambut dibenar beroperasi mulai esok
Selain itu, data daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) bagi hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang turut bertambah baik.
Dalam pada itu, usaha mempercepatkan vaksinasi juga ditumpukan kepada negeri-negeri lain yang sedang mengalami peningkatan kes dengan kerajaan telah membekalkan 2 juta dos vaksin kepada Johor dan 1.5 juta dos kepada Sabah bulan ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, strategi kerajaan adalah jelas iaitu lebih ramai yang divaksinasi dengan lengkap, lebih ramai penduduk Malaysia yang dilindungi dari jangkitan dengan teruk, lebih kurang beban kepada sistem kesihatan awam.
Pada masa sama, beliau berkata, lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dapat dibuka supaya semua pihak kembali secara berperingkat ke kehidupan norma baharu.
“Saya amat berharap agar trend penurunan ini akan berterusan dan dapat mengurangkan beban kes COVID-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Walau bagaimanapun, kapasiti pesakit di ICU masih lagi penuh memandangkan rawatan pesakit di ICU adalah jauh lebih rumit dan memakan tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa.
“Apa yang lebih penting, jangan sesekali kita berputus asa dengan cabaran ini dan lupa bahawa COVID-19 adalah musuh utama kita semua. Semoga Allah SWT sentiasa memberkati perjuangan dan usaha kita bersama, insya-Allah,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

