PELAWAK dan usahawan Shuib Sepahtu membuat keputusan memilih sepupunya menjadi ibu susuan kepada anak bongsunya, Ayash Affan yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu.

Shuib atau nama penuhnya Shahmira Muhamad,37, berkata, sepupunya itu baru melahirkan anak enam bulan lalu.

Jelas Shuib, sebelum membuat keputusan tersebut, dia terlebih dahulu telah berbincang dengan keluarga dan memikirkan banyak aspek yang perlu diberi penekanan lebih-lebih lagi apabila melibatkan hal agama.

“Alhamdulillah, syukur apabila ada dalam kalangan keluarga saya iaitu sepupu yang baharu sahaja melahirkan anak enam bulan lalu. Dia akan jadi ibu susuan Ayash.

“Sebenarnya saya bimbang terhadap masa depan Ayash sekiranya dia menerima susu badan daripada orang luar (bukan keluarga sendiri).

“Takut juga masa depan nanti kita tidak tahu apa akan terjadi. Takut terkahwin pula, jadi masalah nanti. Jadi saya ambil dalam kalangan keluarga (ibu susuan),” katanya dalam temu bual bersama program Melodi, kelmarin.

Dalam pada itu, bapa kepada empat cahaya mata itu sempat menitipkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia termasuklah rakan artis yang membantu untuk mencarikan ibu susuan untuk anaknya.

“Bukan sahaja Tilla (Syatilla Melvin) tapi ramai lagi rakan artis yang saya pun tak sebut nama dia. Ramai juga orang yang saya tak kenal tapi sudi nak bantu saya kerana susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi.

“Saya harap Allah balas ganjaran kepada semua orang yang ada sejak hari pertama bersama-sama dengan saya. Terima kasih juga kepada yang mendoakan kekuatan diri saya,” ujarnya.

Terdahulu, menerusi laporan URTV, Shuib meluahkan kerisauan mengenai bekalan susu ibu memandangkan Ayash ketika Ini masih minum susu tepung.

Shuib kehilangan isteri tercinta, penyanyi Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia pada 9 Ogos lalu akibat Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN : “Doktor suruh bawa susu ibu…” – Shuib akui ramai tawar jadi ibu susuan untuk Ayash