Istana Negara, Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

YANG di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya Perdana Menteri baharu yang akan dilantik perlu segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan mendapat kepercayaan majoriti.

Dalam kenyataan Istana Negara sebentar tadi, Seri Paduka bertitah perkara itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Selaku Ketua Utama Negara, Al-Sultan Abdullah bertitah akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong juga akan mempengerusikan perbincangan khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa dijadualkan Jumaat ini.

Kenyataan itu memaklumkan, Seri Paduka juga bertitah supaya semua 220 Ahli Dewan Rakyat untuk mempersembahkan kepada baginda surat akuan yang menyatakan seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri baharu sebelum 4 petang ini.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa surat akuan tersebut adalah bertujuan untuk membantu Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” kata Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Baca artikel berkaitan: Muhyiddin PM caretaker sehingga PM baru dilantik, PRU-15 bukan pilihan – Istana Negara

Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah ini telah mengganggu-gugat urus tadbir kerajaan ketika kita masih diancam pandemik COVID-19.

Menurut Ahmad Fadil, Seri Paduka berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif mendalam kepada ekonomi di samping demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan pilihan terbaik ketika ini.

Selain itu, baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera.

“Sebelum mengakhiri sesi menghadap semalam, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama, demi mengharmonikan suasana, ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan.

“Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua manakala yang kalah pula tidak kalah semua.

“Seri Paduka Baginda juga menzahirkan harapan agar ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain akan turut diatur bagi sesi-sesi menghadap daripada semasa ke semasa,” kata Ahmad Fadil.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram