“SAYA mungkin Perdana Menteri paling pendek memegang jawatan, tetapi saya kira telah buat apa yang difikirkan perlu untuk menyelamatkan nyawa, rakyat jelata, tentukan mereka ada makanan di atas meja dan nyawa mereka selamat.”

Itu antara kata-kata terakhir disampaikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perjumpaan dengan pegawai Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Dalam video berdurasi 24 minit yang dikongsikan Muhyiddin menerusi Facebook itu, beliau berkata, walaupun menerajui kepemimpinan negara dalam tempoh paling singkat, tugas yang dipikulnya agak luar biasa kerana perlu berperang dengan pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyatakan bahawa beliau akan ‘kembali semula’ sambil mendapat tepukan daripada kakitangan PMO.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan memohon maaf kepada semua pegawai yang berkhidmat serta berpesan untuk semua penjawat awam terus melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat.