PELAKON dan penyanyi sera 1960-an, Siti Aminah Ismail, 75, atau lebih dikenali sebagai Mimi Loma meninggal dunia ke kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Kuala Lumpur awal pagi ini.
Adik kepada Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Mariani Ismail itu dilaporkan meninggal dunia dalam tidur pada pukul 2.19 pagi ini, kata anak tunggalnya, Sherina Othman.
Memetik laporan BH Online, arwah tidak sakit tenat tetapi mengalami cirit-birit dan kurang selera makan sejak beberapa hari lalu.
“Saya dan anak sentiasa memantau pemakanan dan memberinya ubat agar sakit tidak melarat. Kelmarin, arwah agak lemah dan sukar melelapkan mata. Apabila diberikan susu, arwah muntah dan cirit birit semula.
“Jadi, arwah hanya tidur dan tidak buka mata sepanjang hari, semalam. Apabila dipanggil arwah juga tidak menyahut sehingga saya dan anak terpaksa memanggil berulang kali barulah memberi respons perlahan,” katanya.
Sherina berkata, dia tidak terfikir akan pergi buat selama-lamanya hari ini kerana menyangkakan ibunya kepenatan disebakan tidak sihat, malam kelmarin.
Ketika dan anaknya memeriksa oksigen dan pernafasan arwah, mereka mula perasan tangan serta kakinya sudah sejuk, kira-kira jam 2 pagi dan pernafasan mula perlahan.
“Saya tidak sedap hati dan memanggil jiran dan rakan. Ketika memeriksa pernafasan kira-kira jam 2.10 pagi, arwah masih bernafas, cuma semakin perlahan.
“Kemudiannya, terus senyap. Arwah pergi dengan tenang di hadapan saya dan keluarga. Alhamdulillah, kami sempat mengajar arwah mengucap ketika sedang nazak,” katanya.
Jenazah Allahyarham Mimi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, pagi ini.
Sherina berkata, dia mula melihat perubahan wajah ibunya pada malam Khamis lalu yang menjadi petanda arwah akan pergi meninggalkan mereka.
Terdahulu, pelakon filem Ahmad Albab itu sudah sekian lama berada dalam keadaan uzur dengan mengalami masalah penglihatan, darah tinggi, tidak mampu berjalan dan sakit belakang selepas terjatuh di rumahnya dua hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, tahun lalu.
Disebabkan terjatuh, tulang pinggul arwah Mimi patah dan melakukan pembedahan, namun sukar untuk berjalan.
Allahyarham Mimi atau nama sebenarnya, Siti Aminah Ismail adalah adik kepada Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Mariani Ismail.
Beliau aktif berlakon dan menyanyi pada era 1960-an dan pernah membintangi filem Ahmad Albab pada 1968. Allahyarham meninggalkan seorang cahaya mata dan tiga cucu.

