JASAD seorang anggota tentera yang dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang dalam Eksesais Para Predator di Bera, ditemukan pagi tadi.
Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan memaklumkan, jasad Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa itu ditemukan kira-kira pukul 8.15 pagi oleh penduduk Kampung Serengkam, Maran, kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian.
Sehubungan itu, TDM menzahirkan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Nor Aqila Syafiqa Safuan serta seluruh ahli keluarganya.
Pada masa sama, TDM juga akan menghulurkan bantuan sewajarnya daripada segala aspek dalam memastikan kebajikan keluarga tersebut.
“Perkembangan berkenaan pengurusan jenazah Allahyarham akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“TDM turut berharap agar masyarakat tidak menyebarkan gambar-gambar penemuan jasad Allahyarham Mohamad Azrin bagi menjaga perasaan waris mangsa yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Tentera Darat timbang serap semula anggota jika terima vaksin
TDM turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), penduduk kampung serta mana-mana agensi yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak 29 Ogos lalu.
Allahyarham Mohamad Azrin yang merupakan anggota tinjau daripada pasukan kompeni Pandura (Para) dilaporkan hilang dan dipercayai lemas di Sungai Pahang ketika menyertai Eksesais Para Predator di Kampung Batu Bor, Bera, Ahad lalu.
Allahyarham menjalani latihan taktikal menyeberangi Sungai Pahang ketika dilaporkan hilang pada pukul 4.40 petang dengan SAR segera digerakkan bagi mencari dan menyelamatnya.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang prihatin dengan kejadian itu turut berkenan mencemar duli bagi menyertai SAR berkenaan, semalam.
Seri Paduka yang mengenakan seragam tentera darat menaiki bot disediakan JBPM Pahang pada pukul 4.40 petang ketika hujan renyai sebelum menjadi lebat kira-kira 10 minit kemudian.
Al-Sultan Abdullah yang tiba di lokasi SAR pada pukul 3.45 petang turut mendengar taklimat operasi oleh Pengarah JBPM Pahang, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa selain bertanya khabar kepada isteri mangsa yang tiba di lokasi pada kira-kira pukul 5 petang.
Eksesais Para Predator adalah salah satu eksesais yang dilaksanakan Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 10 Briged (PARA) yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka.
Ekksesais berskala besar selama 14 hari itu melibatkan seramai 1,894 anggota tentera dengan 151 aset logistik Tentera Darat Malaysia.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

