PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyemak semula sasaran jualan tahun ini dengan menurunkannya sebanyak 10.8 peratus kepada 214,000 kenderaan berbanding sasaran awal 240,000 sebelum ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, keputusan itu diambil berdasarkan faktor waktu dan sumber sedia ada.
Kata beliau, antara ancaman kepada sektor pengeluaran domestik dan antarabangsa tahun ini termasuk peningkatan kes COVID-19 dan kekurangan bekalan semikonduktor.
Menurut Zainal Abidin, keutamaan Perodua ketika ini adalah untuk memastikan industri automotif dapat terus beroperasi dan bertahan tahun ini.
“Mengenai kekurangan cip semikonduktor, Perodua masih memperolehi bekalan yang cukup untuk memastikan pengeluaran berjalan lancar tahun ini dan sebahagian besar tempahan Perodua yang tertunggak akan dapat dipenuhi dalam tahun ini.
Baca artikel berkaitan: Jualan Perodua turun 16.5%, catat 20,399 kenderaan
“Buat masa ini, bekalan cip semikonduktor masih menjadi isu global dan kami bekerjasama dengan rakan kongsi serta pembekal untuk mengehadkan sebarang gangguan yang timbul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Zainal Abidin turut mengumumkan syarikat itu telah berjaya mencatatkan peningkatan jualan setelah mendaftarkan 6,988 kenderaan pada bulan Ogos berbanding 655 unit bulan sebelumnya.
Beliau berkata, peningkatan ketara itu berpunca daripada peningkatan produksi dan pembukaan pusat jualan secara beransur-ansur sejak 16 Ogos lalu.
Setakat tahun ini, Perodua telah mendaftarkan 104,933 kenderaan iaitu penurunan 12.5 peratus berbanding 119,977 yang dijual antara Januari hingga Ogos tahun lalu.
“Kami menjangkakan jumlah pengeluaran dan pendaftaran akan meningkat berkali ganda pada bulan September apabila keadaan kembali normal.
“Kami juga sedang berusaha mengecilkan jurang jualan dengan meningkatkan lagi pengeluaran kenderaan kami dan menambahbaik prosedur operasi untuk memastikan keselamatan kakitangan serta pelanggan,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

