Kanak-kanak berisiko rendah dari koronavirus dan suntikan vaksin hanya memberikan manfaat yang sedikit.

BADAN penasihat vaksin United Kingdom (UK) enggan memberikan ‘lampu hijau’ untuk memberikan vaksin kepada kanak-kanak sihat berusia antara 12 hingga 15 tahun atas alasan kesihatan.

Memetik BBC, Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) berkata, kanak-kanak berisiko rendah dari koronavirus dan suntikan vaksin hanya memberikan manfaat yang sedikit.

Empat ketua pegawai perubatan di UK kini diminta untuk memberikan keputusan muktamad dan mempertimbangkan kesan yang lebih luas vaksin terhadap sekolah dan masyarakat.

Setiausaha Kesihatan UK, Sajid Javid berkata keputusan mengenai perkara itu akan dibuat tidak lama lagi.

JCVI pada masa sama menasihatkan untuk memperluas program vaksin sedia ada dengan memasukkan 200,000 remaja tambahan yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.

Doktor mendapati kanak-kanak dengan masalah jantung, paru-paru dan hati yang kronik mempunyai risiko Covid jauh lebih tinggi daripada kanak-kanak yang sihat.

Keputusan untuk tidak mengesyorkan vaksin kepada semua kanak -kanak yang sihat adalah berdasarkan pada kebimbangan mengenai kesan sampingan vaksin Pfizer dan Moderna yang sangat jarang berlaku yang menyebabkan keradangan jantung dan boleh menyebabkan berdebar-debar dan sakit dada.

Data dari Amerika Syarikat (AS) yang mana jutaan remaja telah divaksinasi menunjukkan, terdapat 60 kes keadaan jantung untuk setiap juta dos kedua yang diberikan kepada kanak-kanak lelaki berusia 12 hingga 17 tahun (berbanding lapan dari satu juta gadis).

Perancis, Itali, Israel dan Ireland juga menawarkan vaksin kepada semua kanak-kanak dalam kumpulan usia ini.

Tetapi kerana kanak-kanak berisiko rendah terkena koronavirus, JCVI memutuskan bahawa vaksinasi hanya akan menawarkan “kelebihan marginal” dan oleh itu terdapat bukti “tidak mencukupi” untuk menawarkan vaksinasi secara besar-besaran kepada peringkat usia ini.