SEORANG remaja lelaki berusia 18 tahun ditemukan maut selepas sebuah rumah hangus terbakar di Lorong Astana, Bandar Sri Astana, Sungai Petani, awal pagi tadi.
Komander Operasi, PBK I Mohd Zaki Senik memaklumkan, remaja lelaki itu ditemukan maut di ruang loteng berukuran 10 x 10 kaki pada pukul 5.23 pagi.
Menurut beliau, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.51 pagi tadi.
Mohd Zaki berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani bersama bantuan BBP Aman Jaya telah digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, seramai 22 anggota serta beberapa aset telah digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 5.07 pagi.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah rumah kelas A Setingkat berukuran kira-kira 20×60 kaki.
“Kebakaran dianggarkan telah memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur rumah dan dipercayai bermula daripada bahagian hadapan.
“Sebuah kereta Perodua Alza turut didapati musnah sebanyak 90 peratus di samping empat lagi buah motosikal,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd Zaki berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Pada masa sama, katanya, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an turut mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Sungai Petani untuk menerima rawatan lanjut.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan satu pancutan serta salur bantu mula.
“Sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 5.41 pagi dan kerja-kerja overhaul masih dijalankan ketika laporan dikeluarkan dengan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” jelasnya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

