PARLIMEN akan jadi bahan jenaka di dalam dan luar negara jika kerajaan mengambil keputusan melantik Timbalan Speakar yang baharu dalam kalangan seseorang pemimpin yang masih terpalit dengan ‘kluster mahkamah.’
Ketua Pembangkang, Dewan Undangan Negeri Perak, Dr. Abdul Aziz Bari perkara itu tidak harus berlaku walaupun kerajaan baharu yang dipimpin UMNO dilihat sedang melantik pemimpin-pemimpin mereka dengan pelbagai jawatan dalam kerajaan.
“Dalam keghairahan UMNO ‘memberi imbuhan’ kepada pimpinan mereka dengan jawatan dalam kerajaan, mereka secara bersahaja dan sengaja membelakangkan bukan sahaja kepentingan rakyat malah mengabaikan teguran dan pesanan Raja-raja Melayu yang mahukan kerajaan baharu ini bersih daripada mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Abdul Aziz berkata, pihaknya difahamkan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan akan dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Katanya, kemuliaan dan ketinggian Parlimen sebagai badan perundangan akan terjejas sekiranya perkara itu berlaku kerana masih ramai lagi pemimpin yang layak.
Beliau berkata, Ahmad telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011 pada 21 Januari tahun lalu.
“Sepatutnya beliau perlu melalui proses undang-undang dan tidak diberikan kedudukan serta peranan yang sedemikian penting di Parlimen,” katanya dalam kenyataan, memetik laporan Free Malaysia Today (FMT).
Pada 23 Ogos lalu, Ahli Parlimen UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said meletakkan jawatan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat dengan alasan untuk membolehkan kerajaan dan pembangkang ‘menetapkan semula’ fungsi Dewan Rakyat.
Abdul Aziz berkata, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang tidak serius dalam melakukan reformasi institusi yang dilaungkan.
“Melihat kepada cadangan ini nampaknya reformasi yang dilaungkan itu hanyalah retorik politik dan sekadar meneruskan budaya pimpinan kerajaan sebelumnya,” tambahnya.
Sementara itu, ketika bercakap kepada FMT, Ahmad meminta rujukan dibuat kepada Pejabat Speaker dan Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon berhubung khabar angin mengenai pelantikannya.
“Sila rujuk Pejabat Speaker dan Timbalan YB Rashid. Terima kasih,” jawabnya ringkas.

