Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah GAMBAR: Jabatan Penerangan

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa syukur dan sukacita dengan pendekatan bersejarah kerjasama rentas parti yang telah dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka menzahirkan harapan bahawa dengan termeterainya MOU itu kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

‘’Seri Paduka mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menegaskan, bahawa ia juga selaras dengan pendirian Duli Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu akan pentingnya pembentukan Kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

Sehubungan itu, kata beliau, Seri Paduka menasihati ahli-ahli Dewan Rakyat supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung.

Seri Paduka Baginda turut menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara.

‘’Seri Paduka turut menegaskan bahawa kerajaan perlu mempercepatkan penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara,’’ katanya.

Dalam kenyataan itu juga, Al-Sultan Abdullah mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) serta semua perintah yang telah ditetapkan Kerajaan.

‘’Seri Paduka turut menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,’’ katanya.