KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya menafikan kesahihan gambar kononnya berlakunya kesesakan orang ramai di Jeti Kuala Perlis seperti yang tular dalam media sosial.
Pasukan Respons Pantas, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam kenyataan memaklumkan, gambar yang ditularkan itu adalah palsu.
Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, gambar yang memaparkan orang ramai bersesak di Jeti Kuala Perlis itu adalah gambar lama daripada berita yang disiarkan pada 20 Ogos 2020.
“Kementerian menegaskan gambar yang memaparkan situasi berkenaan adalah palsu serta memberi tanggapan negatif berhubung projek rintis gelembung pelancongan Langkawi dan boleh menganggu ketenteraman orang ramai khususnya penduduk Langkawi.
“Orang ramai disaran berhenti daripada menyebarkan berita palsu sebaliknya merujuk laman sesawang dan media sosial rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mendapatkan maklumat yang sahih serta terkini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selepas sekian lama ditutup ekoran pandemik COVID-19, pulau pelancongan terkenal Langkawi kembali menerima kedatangan pelancong pada hari pertama gelembung pelancongan yang bermula kelmarin.
Baca artikel berkaitan: Pelancong ke Langkawi positif COVID-19, boleh tangguh tiket, penginapan – Menteri
Pelancong yang ingin pergi ke Langkawi juga mempunyai pilihan untuk menggunakan jalan udara dan darat.
Namun begitu, pergerakan melalui jalan darat memerlukan pelancong menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri untuk ke Langkawi.
Dianggarkan kira-kira 3,200 pelancong tiba di Langkawi menerusi tiga trip perjalanan feri dari Kuala Perlis, Perlis dan 18 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Pesawat Boeing 737-800 MH1432 yang berlepas dari KLIA membawa 159 orang penumpang menjadi pesawat pertama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) pada pukul 10.45 pagi kelmarin.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

