
TEMPOH ‘cuti panjang’ sempena Hari Malaysia dan musim cuti persekolahan minggu lalu, tidak kurang daripada tiga rakan penulis dilihat memilih Thailand sebagai destinasi percutian masing-masing.
Ada yang memilih bercuti ke Hatyai melalui jalan darat dengan memandu kenderaan sendiri dan ada juga mengambil penerbangan untuk ke Bangkok.
Malah, ada juga rakan penulis membuat keputusan bercuti melalui jalan laut dengan menaiki kapal persiaran mewah yang singgah di Phuket.
Itu baru tiga contoh tetapi sebenarnya lebih 100,000 rakyat Malaysia dianggarkan telah bercuti ke negara jiran itu terutama selama empat hari cuti umum sempena Hari Malaysia minggu lalu.
‘Kegilaan’ rakyat Malaysia untuk menyeberangi sempadan memasuki Thailand dilihat semakin menjadi trend terkini.
Berdasarkan laporan media, jumlah lebih 100,000 rakyat negara ini yang telah bercuti ke Thailand itu telah membuatkan lebih RM130 juta dijangka ‘mengalir keluar’ sekali gus memberi keuntungan besar kepada sektor pelancongan negara jiran itu.
Fenomena itu sebenarnya menyerlahkan dua sisi berbeza kepada situasi yang dihadapi rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Pertama, keadaan trafik penuh sesak sewaktu musim cuti persekolahan di semua lebuh raya utama menyerlahkan bahawa rakyat Malaysia kini sentiasa mahu bercuti atau ‘healing’ apabila tibanya musim cuti.
Pada masa sama, kesesakan yang berlaku termasuk di pintu-pintu sempadan hingga dikatakan mencecah hampir empat jam membuktikan bahawa ‘poket’ rakyat Malaysia mungkin sudah kembali stabil selepas kira-kira lima tahun COVID-19 melanda dunia.
Namun, dari satu sisi lain, langkah rakyat Malaysia yang berpusu-pusu menyeberang sempadan ke Thailand menimbulkan tanda tanya tentang nasib sektor pelancongan di tanah air.
Lokasi percutian dalam negara paling mendapat tumpuan yang dikatakan menjadi ‘mangsa’ apabila destinasi ke Thailand menjadi pilihan sudah semestinya Pulau Langkawi kerana bukan sahaja kedudukan berhampiran dengan sempadan tetapi juga kerana pelbagai tarikan yang ditawarkannya.
Dengan keindahan pantai, pakej ekopelancongan seperti lawatan hutan paya bakau, pelayaran matahari terbenam, serta aktiviti ikonik meninjau helang, Langkawi sememangnya mempunyai tarikan tersendiri.
Bagaimanapun, semua itu dikatakan semakin pudar apabila minat pelancong domestik terhadap pulau itu dilihat semakin luntur dan beralih ke lokasi percutian lain.
Reputasi Langkawi itu menjadikan pulau legenda itu sering menjadi sasaran apabila mahu membandingkan antara sektor pelancongan tempatan dengan negara jiran.
Baru-baru ini, ada pihak mendakwa kedatangan pelancong ke Langkawi sempena cuti Hari Malaysia telah merosot antara 30 hingga 39 peratus berbanding tahun lalu.
Baca artikel lain: Lebih 500 pelumba cilik dalam & luar negara berentap di M8 Langkawi International Runbike Championship 2025
Dakwaan itu yang kononnya disokong data sebenar menyifatkan ramai yang memilih destinasi seperti Hatyai kerana tawaran pelancongan lebih menarik serta kos percutian lebih berpatutan.
Sebaliknya, dakwaan yang dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir itu pantas dinafikan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Menurut Pengurus Pelancongan LADA, Dr Azmil Munif Mohd Bukhari, data rasmi sebenarnya menunjukkan trend positif dan pertumbuhan berterusan kepada sektor pelancongan tempatan di Langkawi.
Berdasarkan rekod, Langkawi mencatatkan kemasukan 2,018,153 pelancong dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, berbanding 1,964,814 dalam tempoh sama tahun lalu sekali gus menafikan dakwaan bahawa pulau itu semakin ‘hilang seri’.
Namun begitu, apakah data itu sebenarnya menjelaskan hakikat sebenar nasib industri pelancongan tempatan terutama di Langkawi?
Jika dilihat di media sosial, masih ramai yang berpandangan bahawa kos dan nilai untuk bercuti ke Langkawi dikatakan tidak berbaloi kepada pelancong tempatan berbanding jika ke selatan Thailand.
Sudah tentu ada benarnya tanggapan sedemikian kerana jika dibandingkan dari segi harga hotel yang ditawarkan, nilai yang ditawarkan di selatan Thailand itu jauh lebih berbaloi.
Bayangkan, harga sebuah hotel bertaraf empat ke lima bintang di selatan Thailand boleh ditempah pada harga di bawah RM500! Suatu kadar yang sudah tentu tidak dapat direbut bukan sahaja di Langkawi tetapi juga kebanyakan destinasi percutian dalam negara.
Bagaimanapun, tindakan membandingkan Langkawi dengan selatan Thailand terutama Hatyai sebenarnya agak kurang bijak kerana Langkawi merupakan sebuah pulau yang dilimpahi pelbagai biodiversiti flora dan fauna serta tarikan tersendiri.
Kalau mahu bandingkan pun, seharusnya Langkawi diletakkan dalam kategori yang sama dengan Phuket mahupun Krabi yang jika pada waktu puncak, kadar harga hotel di sana pun tidak kurang ‘menggila’.
Justeru, destinasi percutian dalam negara termasuk Langkawi sebenarnya sama ‘taraf’ dengan lokasi lain di luar negara, cuma tidak boleh memuat naik gambar ‘buku merah’ di media sosial sahaja.
Sebagai rakyat Malaysia, tanggungjawab kita besar untuk menyokong destinasi percutian dalam negara apatah lagi tahun hadapan adalah Tahun Melawat Malaysia 2026.
Janganlah terlalu asyik dengan intan berlian di luar, hingga batu permata di dalam dilupakan.
Afiq Mohd Shah adalah Penolong Pengarang Berita UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

