Kit ujian kendiri, oximeter dan termometer antara Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) yang bakal diagih kepada keluarga B40, umum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN hari ini mengumumkan pemberian Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) Kepada Keluarga Malaysia B40 yang antara lain mengandungi pulse oximeter, termometer dan risalah panduan penggunaan serta info kesihatan.

Pemberian PPC itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 3.6 juta keluarga B40 yang merupakan persediaan negara ke arah era endemik COVID-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut diagihkan dalam PPC ialah kit ujian kendiri COVID-19 dengan empat kit setiap keluarga serta pek pelitup muka.

Jelas Ismail Sabri, kerajaan memperuntukkan lebih RM471.6 juta bagi tujuan pemberian PPC kepada Keluarga Malaysia kategori B40 dalam usaha memastikan diri dan keluarga bebas dari jangkitan COVID-19.

“Usaha ini antara lain bertujuan untuk meringankan beban kewangan perbelanjaan isi rumah B40 dan melatih diri membudayakan norma baharu, sekaligus membantu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus COVID-19.

“Sehubungan itu, kerajaan akan mengagihkan bantuan PPC yang mengandungi:

  • Pek pelitup muka guna semula (4 keping setiap keluarga);
  • Kit ujian kendiri COVID-19 (4 kit setiap keluarga);
  • 1 pulse oximeter;
  • 1 termometer; serta
  • Risalah panduan penggunaan dan info kesihatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini

Menurut Perdana Menteri, pemberian PPC buat masa ini akan dimulakan dengan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga.

Baca artikel berkaitan: Dos ketiga akan mula diberi, keutamaan kumpulan berisiko – PM

Kerajaan naikkan Bantuan Wang Ihsan kepada RM1,000

“Mereka ini adalah dalam kalangan isi rumah B40 yang sudah berkahwin dengan ada atau tidak mempunyai anak; ataupun ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak.

“Inisiatif ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih kurang 3.6 juta keluarga B40. Secara keseluruhannya terdapat 8.4 juta penerima BPR,” jelasnya.

Ujar beliau, kesemua perincian berhubung pelaksanaan Pakej Penjagaan COVID-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram