Sajjad sudah ditahan di Thailand, mahu ‘berlindung’ di Australia

Dari Penulis

MUHAMMAD SAJJAD Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang menjadi buruan pihak berkuasa Malaysia sejak Mac lalu memang diketahui sedang bersembunyi di Thailand.

Namun, dalam tempoh itu tiada maklumat berhubung status sebenar usahawan kosmetik berusia 36 tahun itu yang ‘hilang’ setelah waran tangkap ke atasnya dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Cuma sesekali muncul laporan media sosial mengenai Sajjad seperti gambarnya di sebuah resort yang didakwa di Thailand sekali gus menambahkan ‘ramuan’ sensasi kisah kontroversi usahawan tersebut.

Terbaru, tanda tanya mengenai Sajjad selama ini terjawab apabila Harian Metro hari ini melaporkan usahawan itu sudah ditahan pihak berkuasa Thailand 8 September lalu kerana melakukan kesalahan imigresen.

Baca artikel berkaitan: Tidak hadir perbicaraan, mahkamah keluar waran tangkap untuk Sajat

Polis kenal pasti lokasi persembunyian Sajat

“Jerat tak lupakan pelanduk”, IGP gesa Sajat balik hadapi kes

Penahanan Sajjad itu dibuat selepas menerima maklumat daripada pihak berkuasa Malaysia.

Sumber memaklumkan Harian Metro, Sajjad ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen.

Berdasarkan maklumat dikongsikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pihak berkuasa Thailand mengenai lolosnya usahawan berkenaan ke negara berkenaan pada awal Mac lalu, usaha mengesannya dilakukan jabatan imigresen Thailand.

Akhirnya pada Jun, imigresen Thailand dapat mengesan persembunyian Sajjad di sebuah kondominium di Bangkok.

Memetik laporan Harian Metro itu, selepas risikan, serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya pada 8 September sekitar jam 6 petang (waktu Thailand).

Hasilnya, Sajjad ditahan dan semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia.

“Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia,” kata sumber itu.

Sajjad dilaporkan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen.

“Pada 9 September atas kesalahan itu, Sajjad didakwa di mahkamah Thailand dan dia bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

“Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat,” kata laporan Harian Metro itu.

Sajjad masih berlindung di kondominium mewah di tengah ibu kota Bangkok itu dan diarahkan untuk hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari.

Daripada laporan Harian Metro itu, pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Sajjad ke negara ini.

Bagaimanapun terdapat campur tangan antarabangsa ketika ini yang merumitkan keadaan namun pihak berkuasa Malaysia optimis dapat membawa pulang Sajjad untuk menghadapi kes mahkamah syariahnya.

Ketika ini, dilaporkan Sajjad menunggu kebenaran untuk berpindah ke negara ketiga iaitu Australia.

Usahawan itu sedang berusaha mendapatkan perlindungan daripada negara berkenaan atas pelbagai alasan termasuk diugut bunuh dan diskriminasi.

Sajjad juga memperoleh kad UNHCR yang dikeluarkan ibu pejabat badan itu di Bangkok.

Selain diburu polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Sajjad juga perlu membayar hampir RM200,000 kepada bekas stokis syarikatnya setelah gagal dalam rayuannya bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana memerintahkannya membayar ganti rugi tersebut kepada syarikat OWA Resources.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan lanjut perjanjian cari MH370 setahun lagi, kekal konsep ‘no find, no fee’

JEMAAH Menteri bersetuju melanjutkan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat Ocean Infinity bagi meneruskan usaha pencarian bangkai pesawat Malaysia...

More Articles Like This