SELEPAS lima hari pembukaan Langkawi yang menjadi projek rintis gelembung pelancongan kerajaan, masih tiada kes jangkitan Covid-19 dikesan membabitkan pelancong domestik di pulau peranginan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, penularan Covid-19 yang berlaku di pulau itu ketika ini hanya membabitkan penduduk tempatan sahaja.
Menurutnya, perkembangan itu membuktikan kejayaan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di bawah projek rintis berkenaan.
“Kerajaan sudah menggariskan SOP yang baik di bawah projek gelembung pelancongan. Saringan ujian Covid-19 dibuat di lokasi-lokasi pelepasan sebelum ke Langkawi turut membantu menghalang individu yang positif daripada memasuki Langkawi” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Azhar Ibrahim (PAS-Ayer Hitam) mengenai kesan pelaksanaan SOP kepada pelancong dalam sektor pelancongan di Langkawi dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Alor Setar.
Dalam pada itu, Mohd Firdaus berkata, setakat ini diunjurkan seramai 200,000 pelancong akan memasuki Langkawi menjelang penghujung 2021.
Ujarnya, Kementerian Pelancongan juga telah mengumumkan bahawa sektor-sektor pelancongan lain akan mula dibuka pada 1 Oktober ini selepas melihat perkembangan yang positif di Langkawi.
Dalam pada itu, Mohd Firdaus berkata, pembukaan Jeti Kuala Kedah yang menjadi antara laluan utama ke Langkawi esok dipercayai mampu mendatangkan kesan positif kepada ekonomi penduduk setempat terutamanya peniaga.
Ujar beliau, jeti itu sebelum ini ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga meninggalkan kesan khasnya apabila pelancong terpaksa ‘dilencongkan’ ke Kuala Perlis untuk menaiki feri ke Langkawi.
“InsyaAllah apabila jeti ini kembali dibuka esok, kita akan melihat rakyat di Kuala Kedah dapat turut menikmati kesan pembukaan Langkawi,” tambahnya.

