PENDAKWAAN ke atas penjenayah alam sekitar yang membuang sisa kimia industri berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, Johor, bakal didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat.
Mereka melibatkan beberapa individu yang direman pada 16 September lalu.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, segala maklumat hasil siasatan mengenai insiden itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara sebaik selesai dilengkapkan.
“Kami sudah kenal pasti punca pencemaran itu dan sisa bahan kimia yang dibuang ke dalam sungai berkenaan sudah dihantar ke makmal (Jabatan Kimia Malaysia) untuk dianalisis.
“Malah kami juga sudah menahan mereka yang disyaki terbabit dalam insiden itu. Ketika ini kami masih menunggu data-data lengkap untuk mengambil tindakan pendakwaan terhadap mereka,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 di Sungai Rembau Lubuk China hari ini.
Menurut laporan Harian Metro itu, Tuan Ibrahim berkata, pendakwaan akan dilakukan apabila proses pembuktian selesai diperoleh.
Baca artikel berkaitan: Pencemaran Kg Baru Sri Aman:9 ditahan,tiada gangguan bekalan air
Pencemaran Kg Baru Sri Aman:9 ditahan,tiada gangguan bekalan air
“Perkara itu (pendakwaan) akan dilakukan dalam tempoh terdekat iaitu selepas semua urusan siasatan selesai,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalannya, Datuk Dr Mansor Ohtman, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Dr Zaini Ujang; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali.
Dalam kejadian pada 15 September lalu, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Johor, pengsan manakala ramai dipindahkan selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia dari Sungai Tawakal berhampiran kampung itu.
Insiden pada jam 10.30 malam itu menyaksikan empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Baharu bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Sementara itu, dalam ucapannya, Tuan Ibrahim berkata, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Unit Perancang Ekonomi merangka Pelan Transformasi Sektor Air 2040 dalam intipati Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Katanya, ini untuk menjadikan sektor air sebagai enjin pertumbuhan ekonomi dan Malaysia sebagai hab air serantau menjelang 2040.
Beliau berkata, kementerian itu juga komited dalam memastikan kecukupan sumber air dan jaminan bekalan air bersih kepada seluruh rakyat di negara ini menerusi Pelan Transformasi Sektor Air 2040.
Menurutnya sebanyak 2,986 lembangan sungai di seluruh negara merupakan sumber bekalan air bersih untuk kegunaan rakyat di negara ini dengan purata taburan hujan tahunan yang melebihi 2,000 milimeter (mm), antara tertinggi di dunia yang perlu dimanfaatkan sebaiknya.
Susulan itu banyak projek infrastruktur air sedang dilaksanakan dan dirancang dengan teliti seperti Projek Grid Air Kebangsaan, Projek Pengurangan Kadar Air Tidak Terhasil, Projek Takungan Air Pinggiran Sungai, Projek Naik Taraf Empangan, Projek Rancangan Tebatan Banjir dan Projek Pemuliharaan Pantai di seluruh negara.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

