SEBANYAK 500,000 lagi rumah mampu milik akan dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi meningkatkan peluang kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) memiliki rumah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu milik demi kesejahteraan Keluarga Malaysia selaras dengan Dasar Perumahan Negara.
Bagi mencapai hasrat itu, kata beliau, kerajaan telah membina lebih dariapda 282,000 rumah mampu milik dalam tempoh RMK-11.
Perdana Menteri berkata, kemudahan pembiayaan termasuk dana untuk rumah mampu milik, Skim Perumahan Belia dan program sewa untuk milik (RTO) akan ditambah baik bagi memastikan golongan B40 dan M40 tidak terbeban dengan bayaran ansuran.
“Bagi menyediakan bantuan perumahan kepada rakyat miskin, kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM2.25 bilion dalam tempoh RMK-12.
“Peruntukan ini adalah untuk membina dan membaik pulih sebanyak 85,500 unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah melibatkan 75,000 unit rumah di kawasan luar bandar dan hampir 10,500 unit rumah di kawasan bandar.
“Ini tidak termasuk pembinaan rumah yang dilaksanakan di bawah kerajaan negeri, sektor korporat dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO),” katanya.

Baca artikel berkaitan: Peruntukan RM1.6 bilion ganti 148 sekolah daif – PM
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul mengenai RMK-12 2021-2025 bertemakan Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’ di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pelbagai program perpaduan dan sukan secara inklusif dan komprehensif juga akan dipergiat oleh kerajaan.
Katanya, perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa selain integrasi nasional silang budaya serta merentasi ideologi politik merupakan tunjang kekuatan sebagai sebuah Keluarga Malaysia.
“Apalah maknanya kesejahteraan sekiranya kita tidak bersatu hati. Sejarah telah mengajar kita betapa pentingnya untuk mengekalkan perpaduan dalam membina negara bangsa.
“Marilah kita menggerakkan seluruh kekuatan untuk terus menyebarkan semangat patriotisme dan kesukarelawanan dengan memanfaatkan platform digital serta media yang lain.
“Pemahaman serta penghayatan mengenai Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara perlu terus diterap dan diperkasa dalam kalangan anak-anak kita dan golongan belia negara,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

