VIDEO tular menunjukkan Toyota Alphard berwarna hitam memotong kenderaan di garisan berkembar di Jalan Bukit Marak-Binjai, Kota Bharu. - Gambar Facebook

SEJAK petang kelmarin tular sebuah Toyota Alphard dengan nombor pendaftaran P45 dipandu secara berbahaya di Kota Bharu beberapa hari lalu.

Lebih hangat diperkatakan dalam kalangan netizen apabila kenderaan itu milik seorang timbalan menteri yang juga ahli Parlimen di Kelantan.

Hari ini, pemimpin Pas tersebut, Datuk Ahmad Marzuk Shaary tampil memohon maaf atas insiden berkenaan.

AHMAD MARZUK SHAARY

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, beliau juga bersedia jika dikenakan tindakan atas kejadian tersebut.

Dalam kenyataannya, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, sebagai manusia yang tidak sempurna, beliau mengambil tanggungjawab atas teguran yang diberikan dan menjadikan ia sebagai penambahbaikan untuk diri sendiri dan kakitangannya.

Kata Ahmad Marzuk, kes tersebut sedang dalam siasatan pihak berkuasa dan kakitangan yang terlibat juga telah dipanggil memberikan keterangan.

“Sekiranya dikenakan hukuman, semoga ia menjadi asbab kebaikan dan penambahbaikan buat beliau (pemandu) dan saya sendiri.

“Biarlah hukuman itu di atas dunia andai dengan sebab itu ia melepaskan kami daripada hukuman di akhirat,” katanya.

Ahmad Marzuk berkata, semua manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan, dan perlu ada insan lain yang menegurnya.

Baca artikel berkaitan: Polis terima laporan Alphard dipercayai milik timbalan menteri memotong garisan berkembar

Katanya, setiap teguran berkenaan adalah proses penambahbaikan, terutama kepada seseorang pemimpin.

Polis Kelantan semalam mengesahkan menerima satu laporan berkaitan sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran P45 yang dipandu secara berbahaya sehingga tular dalam Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Suhaimi Jusoh dalam kenyataan memaklumkan susulan itu, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan kenderaan berwarna hitam itu dipandu oleh pemandu timbalan menteri ketika insiden tersebut berlaku.

Sumber memberitahu portal tersebut, kejadian itu berlaku kerana pemandu terbabit sedang berkejar untuk ke lapangan terbang dan memotong kenderaan di hadapannya ketika laluan tersebut mempunyai dua garisan putih berkembar.

“Semasa kejadian lelaki terbabit memandu sendirian dari rumahnya hendak menghala ke rumah majikan sebelum menghantar majikan terbabit ke lapangan terbang,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram