Kerja yang dihasilkan tidak pernah dihargai bos. Bersengkang mata sehingga dibawa pulang ke rumah segala fail pejabat untuk diselesaikan. Urusan kerja pejabat tidak pernah habis. Itu belum dikira suami di rumah yang menunggu hidangan makan malam. Stres bukan?

Ditambah pula zaman sekarang, agak sukar untuk terlalu memilih kerjaya. Ada yang terpaksa keluar dari bidang yang ia mahir bertukar ke arah bidang yang lain semata-mata untuk mencari nafkah. Entah bagaimana daripada pengurusan pejabat bertukar kepada pemasaran. Terpaksa bertemu klien. Selama bertahun diam membisu, secara tiba-tiba bidang pengucapan awam itu menjadi tugas utama. Ini juga stres bukan?

Stres atau tekanan mental yang menekan individu biasanya hadir akibat kecelaruan dalam mengendali kehidupan. Ada kalanya stres juga hadir dari ujian berat yang menimpa. Contoh di atas adalah stres di tempat kerja. Tekanan demi tekanan terpaksa dihadapi membuatkan semakin hari semakin berisiko tekanan tersebut. Malah ianya bakal mengundang bahaya kepada orang tersebut.

Wujud tanda-tanda awal sakit mental yang menyerang seseorang boleh terlihat kepada sikap ganas atau panas baran yang tidak bertempat.

Gelisah yang tidak tentu arah, gangguan terhadap selera makan, tidur yang tidak sempurna, hilangnya motivasi diri, kemurungan yang keterlaluan, kerisauan yang berlebihan, kelesuan, malah ada yang mabuk arak, mudah meradang walau tiada alasan dan ada ketikanya sering kali wujud perasaan bersalah. Ini tanda-tanda awal yang memungkinkan kita berhadapan dengan sakit mental.

Kes pesakit mental yang timbul di negara ini semakin hari semakin meningkat. Sudah semestinya peningkatan ini adalah berkait rapat dengan suasana semasa. Keadaan setempat, sama ada lahir dari tempat mereka bekerja yang tidak kondusif, keluarga yang bermasalah atau kurangnya kemahiran seseorang individu itu mengawal perjalanan pemikirannya.

Dalam Islam, sering kali diungkapkan dengan ketenangan. Perkataan seperti ‘salim’, ‘sakinah’, ‘saadah’ dan banyak lagi; dikaitkan dengan orang yang hidup beragama. Sebab itu Nabi s.a.w., adalah orang yang paling tenang. Walaupun Baginda merupakan insan yang paling selayaknya mendapat stres dengan tekanan umatnya sendiri. Nabi pernah bersabda: “Manusia yang paling hebat cubaannya adalah para nabi.

Kemudian yang paling sepadan dan seterusnya dan seterusnya. Seseorang dicuba sesuai kadar agamanya. Jika agamanya kuat, hebatlah cubaannya. Jika dalam agamanya lemah, dia dicuba sesuai ukuran agamanya. Cubaan selalu saja menimpa seorang hamba, sehingga dia berjalan di atas bumi tanpa menanggung sebuah dosapun.

Namun sebaliknya Nabi s.a.w., walaupun tekanan mental yang ia hadapi itu bezanya umpama langit dan bumi dengan tekanan yang dihadapi oleh kita umatnya. Namun sejarah membuktikan Nabi s.a.w., adalah insan yang paling tenang dan ketenangan Baginda dirasai sahabat di sekelilingnya.

Bukan Mencari Masa Terluang, Namun Kita Yang Meluangkan Masa Mencari Ketenangan

Setiap manusia mesti menghadapi tekanan. Saban hari pasti terdapat masalah yang berlaku. Namun kita perlu mencari waktu untuk merawat kembali tekanan tersebut. Untuk mencari waktu yang sesuai mungkin agak sukar dalam kesibukan menjalani tugasan harian. Jadinya kita sendiri yang perlu meluangkan masa khusus untuk menghilangkan kekusutan.

Teringat kisah Nabi s.a.w., sewaktu menghadapi kekusutan dengan umatnya. Apabila Nabi s.a.w., sebelum menerima wahyu, ia agak tertekan melihat sikap orang Arab jahiliah.

Bukankah Nabi s.a.w., sendiri yang meluangkan masanya untuk bersendirian di Gua Hira’ sebelum turunnya wahyu melantiknya sebagai Rasul.

Stres seorang isteri pula sering kali datangnya dari seorang suami. Malah terkadang selalunya suamilah punca tekanan mental bagi seorang isteri. Namun Nabi s.a.w., insan yang paling sibuk di dunia ini sekalipun, tidak pernah lupa untuk meluangkan masa bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa “Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.” Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim).

Sebab itulah perlu bagi setiap majikan mencuri ruang waktu memberikan hiburan kepada anak buahnya. Aktiviti berkeluarga perlu dirancang untuk menghilangkan tekanan di tempat kerja. Andai kita mencari waktu yang kosong, sudah pasti jawapannya sukar. Namun, kosongkan waktu tertentu untuk mendampingi ketenangan. Ianya sudah pasti satu kerahmatan.